MALAYSIA

Pelaksanaan had umur 16 tahun akses media sosial perlu dipercepat

Bernama 18/10/2025 | 02:45 MYT
Pakar dan masyarakat sokong langkah kawalan tegas, dengan hujah bahawa penggunaan media sosial tanpa kawalan menyumbang kepada jenayah teknologi dan masalah kesihatan mental remaja. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun perlu disegerakan sebagai langkah kawalan tegas bagi mengekang gejala sosial yang kian meruncing dalam kalangan pelajar.


Ringkasan AI
  • Kerajaan cadang naikkan had umur minimum media sosial kepada 16 tahun, susulan peningkatan kes sosial serius dalam kalangan pelajar seperti buli, rogol dan bunuh.
  • Pakar dan masyarakat sokong langkah kawalan tegas, dengan hujah bahawa penggunaan media sosial tanpa kawalan menyumbang kepada jenayah teknologi dan masalah kesihatan mental remaja.
  • PIBGN gesa pendekatan lebih menyeluruh, termasuk kawalan kandungan penstriman berbayar dan pemupukan nilai sahsiah dari rumah serta sekolah.


Langkah yang sebelum ini hanya dibincangkan secara wacana, kini dilihat sebagai keperluan mendesak susulan pelbagai masalah sosial melibatkan generasi muda termasuk kes buli, pergaduhan, rogol dan terbaharu kes bunuh di sekolah.

Perkembangan mengejutkan itu bukan sahaja mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, malah masyarakat umum turut menyuarakan keresahan sama apabila jenayah serius berlaku di institusi yang sepatutnya menjadi tempat selamat iaitu sekolah.

Sehubungan dengan itu, pengumuman jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil mengenai cadangan yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, disifatkan sebagai bukan sahaja langkah pragmatik tetapi juga tindakan drastik yang amat memerlukan.

Menurut pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ima Liana Esa, cadangan itu amat wajar dan relevan memandangkan pelbagai kajian menunjukkan penggunaan media sosial tanpa kawalan menjadi antara punca kepada masalah sosial dalam kalangan anak muda.

Beliau berkata biarpun media sosial mempunyai manfaat tersendiri, penyalahgunaan platform itu kian berleluasa terutama dengan kemunculan jenayah berasaskan teknologi seperti pedofilia, penipuan dalam talian dan buli siber yang semakin kompleks.

"Kebanyakan kes dalam kalangan pelajar sekolah seperti buli, rogol dan terbaharu kes bunuh, semua itu ada elemen pengaruh media sosial apabila sesiapa pun mudah akses untuk mendapatkan apa-apa sahaja diinginkan. Tambah buruk apabila tidak ada kawalan ibu bapa," katanya kepada Bernama.

Ima Liana turut merujuk Australia yang kini mempunyai undang-undang paling ketat berkaitan penggunaan media sosial termasuk larangan akses kepada semua platform media sosial untuk individu bawah umur 16 tahun, dengan hukuman denda hingga A$49.5 juta (A$1=RM2.74) bagi pelanggaran.

Bahayanya media sosial juga menurut Ima Liana, apabila majoriti golongan muda hari ini lebih banyak menghabiskan masa mereka dengan melayari dunia tanpa sempadan itu sehingga ada antaranya menjadi generasi yang bukan 'ketagihan ilmu membaca' tetapi sebaliknya.

Ketagihan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan dengan data menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak kini memiliki akaun media sosial dan menghabiskan purata lapan jam sehari untuk melayari platform seperti TikTok, YouTube serta pelbagai aplikasi lain.

Berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Our Lives Online pada 2020, sebanyak 91 peratus kanak-kanak Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun melayari Internet setiap hari dengan 70 peratus daripadanya pernah terdedah kepada kandungan mengganggu.

"Dalam umur sedemikian, mereka belum matang membezakan buruk dan baik. Terdedah kepada media sosial berlebihan dan tanpa kawalan, merisikokan mereka menjadi mangsa antunan seksual, buli siber dan pelbagai lagi bentuk eksploitasi selain turut terdedah kepada masalah kesihatan mental yang semakin meningkat dalam kalangan remaja seperti social anxiety serta kemurungan," katanya.

Biarpun langkah itu disifatkan tepat pada masanya, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menegaskan kecenderungan suntikan budaya tidak bermoral dalam kalangan pelajar sekolah tidak berpunca daripada pengaruh media sosial semata-mata.

Presidennya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata medium lain seperti kandungan program disiarkan melalui platform penstriman berbayar, apabila dijadikan hiburan tanpa tapisan turut dikenal pasti berisiko memberi kesan terhadap pembentukan akhlak generasi akan datang.

"Kami harap kerajaan tidak fokus kepada pengaruh media sosial sahaja tetapi turut sama melihat ancaman atau bahaya kandungan program daripada platform penstriman berbayar. Ada antaranya, tidak sesuai untuk pembangunan minda dan sahsiah anak-anak," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kaedah paling berkesan untuk membendung isu itu adalah melalui pemupukan nilai murni dalam sahsiah anak-anak dari rumah lagi, seterusnya diperkukuh di sekolah.

"Pendidikan hari ini terlalu berorientasikan akademik, kecemerlangan akademik sehingga meminggirkan kepentingan pembentukan nilai serta akhlak murni dalam sahsiah generasi hari ini. Perkara ini yang wajar kita perbetulkan kerana kecemerlangan akademik tidak ada makna sekiranya runtuh sosial masyarakat," katanya.

-- BERNAMA





#media sosial #sekat #16 tahun #peningkatan kes sosial