KLUANG: Pelaksanaan kemudahan pengangkutan awam seperti projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini perlu mengambil kira pelbagai faktor terutamanya dari segi kewangan negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menyokong pembangunan infrastruktur di negeri ini, namun perkara berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat.

"... semua ini memang kita tak ada masalah untuk kita menyokong, cuma dari segi pelaksanaannya ia bukannya begitu mudah. Ia akan mengambil kira pelbagai faktor antaranya faktor kewangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 pada 23 Nov lepas yang berharap projek HSR dan LRT dilaksanakan segera bagi melengkapkan ekosistem pengangkutan terutama dalam menjadikan Johor destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Mengenai perkembangan terkini HSR, Loke berkata kementeriannya sedang melaksanakan permintaan untuk maklumat (RFI) bagi melihat cadangan daripada pihak swasta berkaitan pelaksanaan projek itu.

"Cuma dari segi kaedah pembiayaan HSR itu mesti berdasarkan kepada pembiayaan swasta sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak. Terpulang kepada pihak swasta. Jadi kita sedang menunggu kertas-kertas cadangan daripada pihak swasta," kata Loke.

Sebelum ini, MyHSR Corporation Sdn Bhd dipetik sebagai berkata tarikh akhir bagi penyerahan RFI bagi cadangan konsep projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dilanjutkan hingga 15 Jan 2024 dari tarikh asal pada 15 Nov 2023.

Berhubung LRT, Loke berkata projek itu perlu perancangan dan perincian terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya.

"Sebab yang pertama ialah dari segi kosnya, diikuti jajaran termasuk teknikalnya, jadi ini akan dibincangkan lebih lanjut antara Persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) akan menstruktur semula kadar tambang perkhidmatan tren Shuttle Tebrau di Johor Bahru ke Woodlands, Singapura, dengan kadar RM5 bagi dua hala khusus kepada rakyat Malaysia mulai tahun depan.

Pada masa ini kadar tambang Shuttle Tebrau ialah RM5 bagi laluan sehala dari Johor Bahru ke Woodlands, manakala S$5 bagi laluan sehala dari Woodlands ke Johor Bahru.

"KTMB semalam mencadangkan kepada saya perubahan stuktur untuk mudahkan rakyat kita, jadi untuk warganegara Malaysia kita tetapkan satu kadar tambang sahaja iaitu RM5 pergi dan balik.

"Ini sudah tentu menjimatkan penumpang yang bergantung kepada mod 'shuttle' ini, jadi saya sambut baik cadangan ini dan saya akan bawa kepada pihak APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) dan berharap ia akan dilaksanakan mulai awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata meskipun Shuttle Tebrau akan dihentikan operasi selepas Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura siap pada 2027, namun dalam tempoh tiga tahun ini ia mampu memanfaatkan rakyat Malaysia terutama yang bekerja di Singapura.

-- BERNAMA