VIENTIANE: Isu di Myanmar menjadi subjek perbincangan utama dalam Informal Consultation (current, previous dan incoming chairs of ASEAN) yang melibatkan tiga negara termasuk Indonesia, Laos dan Malaysia sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM) di Laos.


Ringkasan AI
  • Perbincangan Isu Myanmar: Isu Myanmar menjadi topik utama dalam perbincangan antara Malaysia, Indonesia, dan Laos sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57, dengan fokus pada Konsensus Lima Perkara yang belum direalisasikan.
  • Kepentingan Konsensus Lima Perkara: Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui pada 2021 menekankan penamatan keganasan, dialog membina, bantuan ASEAN, pelantikan duta khas, dan lawatan utusan ke Myanmar.
  • Zon Bebas Senjata Nuklear: ASEAN mencapai persetujuan untuk terus menghormati Deklarasi Bangkok mengenai zon bebas senjata nuklear di Asia Tenggara, dengan usaha memastikan rantau ini kekal bebas daripada senjata nuklear.


Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu berkenaan penting untuk dibincangkan memandangkan Konsensus Lima Perkara yang digariskan pada 2021 masih belum direalisasikan.

‘’Dalam perbincangan tiga negara tadi Malaysia, Indonesia dan Laos berkenaan dengan TROIKA iaitu mekanisme untuk kita pastikan persefahaman lima perkara untuk menyelesaikan masalah Myanmar ini.

‘’Kita telah berikan pandangan bersama-sama cara mana untuk kita pastikan junta ataupun pihak tentera yang telah merampas kuasa di Myanmar itu mengembalikan semula hak rakyat Myanmar, bebas dan hak asasi mereka dibela.

‘’Kita juga mahu melihat supaya junta tentera ini mengembalikan demokrasi di negara Myanmar dengan secepat mungkin insya-Allah,’’ katanya di sini hari ini.

Menerusi persetujuan negara anggota blok ASEAN pada 2021 di Jakarta, Indonesia, antara agenda utama Konsensus Lima Perkara berkenaan krisis di Myanmar adalah menamatkan keganasan dan mengadakan dialog yang membina di kalangan semua pihak berkepentingan.

Selain itu, tiga perkara lain adalah, ASEAN memberikan bantuan kepada Myanmar, duta khas ASEAN yang dilantik untuk menjalankan perbincangan dan utusan dibenarkan melawat negara itu.

Pada masa sama, Mohamad turut menghadiri dua mesyuarat lain termasuk Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone dan ASEAN Foreign Ministers’ Interface with the ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR).

Menerusi Southeast Asia Nuclear Weapon-Free Zone, Mohamad berkata satu persetujuan dicapai kesemua negara anggota ASEAN untuk terus menghormati Deklarasi Bangkok mengenai senjata nuklear di zon Asia Tenggara yang ditandatangani pada 15 Disember 1995.

‘’Pertemuan ini antara lain mengenal pasti bagaimana cara pastikan bahawa Asia Tenggara ini menjadi sebuah rantau dan kawasan yang bebas daripada nuklear.

‘’Itu merupakan konsensus kepada semua negara tetapi bagaimana cara kita nak pastikan negara-negara yang mempunyai senjata nuklear untuk menyertai perjanjian kita.

‘’Ini akan kita perkasakan dan kita akan pastikan bahawa rantau Asia Tenggara ini terus kekal sebagai rantau yang bebas tenaga nuklear.