MALAYSIA

Pelaksanaan NAS diperluas ke seluruh negara mulai awal tahun hadapan

Bernama 02/12/2025 | 06:00 MYT
Teo berkata NAS akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan kawasan yang mempunyai kadar ketidakseragaman alamat paling tinggi sebelum diperluas ke seluruh negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) akan diperluas ke seluruh negara dengan projek rintis dijadual bermula pada awal tahun hadapan di sembilan kawasan terpilih.


Ringkasan AI
  • Sistem Alamat Nasional (NAS) akan diperluas ke seluruh negara dengan projek rintis di sembilan kawasan terpilih pada awal tahun hadapan, dimulai dengan kawasan ketidakseragaman alamat tertinggi untuk standardize alamat premis di seluruh negara.
  • NAS akan menjadi sumber alamat sah, seragam, dan diiktiraf oleh kerajaan Persekutuan, memberi impak kepada pelbagai sektor termasuk perkhidmatan pos, ekonomi, keselamatan, dan perancangan bandar.
  • Program Kampung Digital di Melaka berjaya mengatasi isu alamat tidak jelas di 618 kampung tradisional dengan pemetaan digital, memberi manfaat kepada penduduk dalam pengurusan, penghantaran, dan perkhidmatan yang bergantung pada ketepatan alamat rumah.


Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata perkara itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan kawasan yang mempunyai kadar ketidakseragaman alamat paling tinggi sebelum diperluas ke seluruh negara.

"Dengan pelaksanaan NAS ini, semua premis di seluruh negara termasuk di kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman akan mempunyai alamat yang standard, lengkap dan diiktiraf.

"Pendekatan ini dijangka bukan sahaja dapat memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan, tetapi turut menyumbang kepada keselamatan komuniti, kecekapan pentadbiran dan menyokong pembangunan ekosistem digital secara menyeluruh," katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris tentang langkah dan pelan tindakan kerajaan untuk memperluas pelaksanaan Program Kampung Digital secara menyeluruh di seluruh

Teo berkata pelaksanaan Program Kampung Digital selari dengan NAS yang sedang dibangunkan oleh MCMC itu dengan NAS akan menjadi sumber alamat yang sah, seragam dan diiktiraf oleh kerajaan Persekutuan, serta merupakan sumber rujukan utama dalam pengurusan lebih 12 juta alamat di seluruh Malaysia.

"Sistem ini akan menyokong pelbagai sektor termasuk perkhidmatan pos, ekonomi, keselamatan dan kecemasan, perancangan bandar, utiliti, kerajaan tempatan serta agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan Program Kampung Digital di Melaka yang dijayakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengatasi isu ketiadaan alamat yang jelas, lengkap dan berstruktur di 618 kampung tradisional yang dikenal pasti.

"Melalui inisiatif Program Kampung Digital Melaka ini, setiap premis dikenal pasti, dipetakan dan direkodkan secara digital menggunakan Geographical Information System (GIS), seterusnya diberi alamat standard dan kod QR unik.

"Hal itu membolehkan lokasi disahkan dengan lebih tepat oleh agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan dan pihak industri," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu juga telah membawa manfaat kepada penduduk kampung dalam aspek pengurusan, penghantaran, dan perkhidmatan lain yang bergantung pada ketepatan alamat rumah.

Selain itu, inisiatif berkenaan membantu kerajaan memperoleh data perangkaan yang lebih tepat berkaitan jumlah rumah sebenar di Melaka dan juga sempadan kampung-kampung yang terletak di negeri itu.

-- BERNAMA






#Sistem Alamat Nasional #NAS #Teo Nie Ching #Dewan Negara