Pelaksanaan PKP3.0 mula tunjuk hasil positif - Menteri Kesihatan

Hilmi Malik
Jun 9, 2021 10:52 MYT
Walaupun kadar kes harian dan kebolehjangkitan menurun, namun kes COVID-19 masih lagi mencatatkan angka yang tinggi, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP3.0) telah mula menunjukkan hasil apabila berlaku penurunan kadar kebolehjangkitan COVID-19 serta kes harian baharu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, situasi itu dapat dilihat pada penurunan kadar kebolehjangkitan (R-naught) kepada 0.96 dan kes baharu sejak beberapa hari lalu.
Justeru, beliau berpendapat, pelaksanaan PKP perlu dalam usaha kerajaan untuk membendung penularan wabak COVID-19.
“Kita merekodkan penurunan jumlah kes harian yang meyakinkan dan ini membuktikan PKP mendatangkan hasil.
“Bagaimanapun, kita masih merekodkan kes harian yang tinggi di seluruh negara dan kita mohon rakyat terus patuh dengan SOP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Dr Adham turut memaklumkan, penilaian jangkitan COVID-19 mengikut negeri mengikut kapastiti turut menyaksikan kadar jangkitan yang masih tinggi.
Katanya, situasi itu dinilai berdasarkan peratus anggota kesihatan yang dijangkiti, pemantauan di rumah (HSO), serta penggunaan katil COVID-19 dan penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU).
#COVID-19 #PKP #Putrajaya #SOP #ICU #kadar kebolehjangkitan #Dr Adham Baba #Menteri Kesihatan
Outbrain