MALAYSIA

Pelaksanaan program SARA berjalan lancar, isu awal selesai - Fahmi

Bernama 14/09/2025 | 08:15 MYT
Fahmi berswafoto bersama sebahagian pelanggan ketika melakukan tinjauan perkhidmatan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Kubang Semang, di sini hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar dengan isu-isu yang timbul pada peringkat awal telah berjaya diselesaikan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.


Ringkasan AI
  • Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjalan lancar, dengan purata 150200 orang hadir setiap hari untuk menebus barangan di pasar raya terlibat tanpa sebarang masalah teknikal.
  • Penggunaan MyKad disifatkan sebagai langkah tepat bagi memastikan hanya penerima sah mendapat manfaat, dan kaedah ini mungkin diteruskan dalam program subsidi lain seperti RON95.
  • Fahmi Fadzil menerima maklum balas positif daripada pengunjung, yang menghargai inisiatif kerajaan dalam membantu golongan memerlukan melalui program SARA.


Beliau berkata hasil tinjauan di Pasaraya SH Bistari di sini mendapati purata 150 hingga 200 orang hadir setiap hari untuk menebus barangan di bawah program berkenaan.

Katanya, kadar penebusan SARA pada minggu pertama di pasar raya berkenaan amat positif dengan sistem berfungsi baik serta tiada masalah teknikal dilaporkan.

Menurutnya, keadaan di pasar raya itu juga memuaskan dengan label barangan yang jelas serta stok keperluan asas sentiasa mencukupi.

"Beras ada banyak, telur juga lebih daripada cukup. Saya dapati pelaksanaan program ini berjalan baik tanpa sebarang gangguan," katanya selepas melawat pasar raya tersebut.

Fahmi berkata beberapa pengunjung yang ditemuinya di pasar raya berkenaan turut melahirkan penghargaan terhadap inisiatif kerajaan itu.

Mengenai penggunaan MyKad dalam pelaksanaan SARA, Fahmi menjelaskan langkah itu adalah tepat kerana ia memastikan hanya penerima sah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

"Di Malaysia, pemegang MyKad sudah tentu menggunakan kad sendiri, maka tiada isu salah salur. Ini menjadikan kaedah ini sangat sesuai," katanya.

Fahmi berkata mekanisme penggunaan MyKad itu juga berkemungkinan akan diteruskan dalam program lain termasuk pelaksanaan subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

-- BERNAMA




#program SARA #Sumbangan Asas Rahmah #isy berjaya diselesaikan #Fahmi Fadzil #terkini