TEMERLOH: Pelaksanaan sistem amaran awal banjir merupakan panduan untuk memindahkan penduduk di kawasan terjejas lebih awal sebelum berlaku luruan hujan luar biasa pada Monsun Timur Laut (MTL), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata acuan sistem itu berdasarkan kelaziman banjir yang berlaku setiap tahun dan antara daerah dikenal pasti sebagai lokasi berkemungkinan mengalami luruan hujan luar biasa ialah Temerloh, Pahang, Segamat dan Kota Tinggi (Johor) serta Kota Belud dan Marudu (Sabah).

"Koordinasi semua pihak (agensi terlibat banjir) telah dibuat supaya pemindahan mereka (dapat dibuat) lebih awal kerana paling penting kita mahu mengelakkan daripada berlaku kehilangan nyawa selain dapat menyelamatkan harta benda dan dokumen penting.

"Sebab itu, kita perlu mengambil langkah proaktif...tidak mahu sudah terhantuk baru tergadah dan pusat pemindahan sementara (PPS) juga kena bersedia. Kita berharap kesiapsiagaan yang dilakukan dapat mengatasi permasalahan (yang pernah berlaku sebelum ini)," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek pembangunan lembangan sungai bersepadu (PLSB) Sungai Semantan Fasa Satu di sini, selain turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana serta meninjau PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Menyentuh koordinasi agensi, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata kerjasama turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memobilisasikan lori 10 tan ke lokasi terlibat selain berharap penglibatan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) semasa bencana itu berlaku.

Ditanya mengenai pengagihan wang ihsan kepada mangsa banjir bagi MTL 2023/2024, Ahmad Zahid berkata pengagihannya dibuat mengikut piawaian dan syarat yang ditetapkan iaitu mereka yang terjejas perlu berpindah.

"Terdapat permasalahan bila orang yang tidak berpindah juga mahu namanya didaftarkan (untuk wang ihsan). Kita nasihatkan kerana ini (mesti berpindah) adalah peraturan yang mesti diikuti. Kita buta warna dalam isu ini (tidak mengira latar belakang penerima) tetapi jangan mengambil kesempatan dalam kesempitan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan menyantuni semua dan mengetepikan sebarang sentimen dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas banjir.

Menyentuh daerah Temerloh, Ahmad Zahid berkata pengurusan banjir daerah itu antara yang terbaik walaupun perlu mengendalikan 39,000 orang di PPS dalam satu-satu masa semasa teruk terjejas bencana, hasil kerjasama semua agensi dan jabatan termasuk yang bukan khusus dalam menangani banjir.

Pada lawatannya, Ahmad Zahid juga meluluskan perolehan 14 buah bot berserta peralatan bernilai RM259,000 dan peruntukan KKDW bagi pembinaan rumah lima penduduk terlibat projek PLSB serta RM5 juta untuk pembinaan dewan tertutup di PPS SMK Seberang Temerloh.

Beliau juga mengumumkan bantuan RM5,000 kepada setiap 5,100 pemilik rumah terlibat banjir pada 2021 dan 2022 yang masih belum menerima bantuan serta meluluskan permohonan peruntukan di bawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) di bawah KKDW bagi penempatan semula penduduk terjejas banjir sekitar Lanchang dan Mentakab di sini.

-- BERNAMA