KUALA LUMPUR: Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) berpendapat, adalah penting kertas putih dibentangkan terlebih dahulu sebelum pihak berkuasa melaksanakan tahanan di rumah sebagai alternatif hukuman penjara ke atas sesetengah banduan.

Pembentangan itu, tegas Projek SAMA, penting dalam usaha membina keyakinan orang ramai.

Menurut Projek SAMA, pembentangan kertas putih juga adalah untuk mengelakkan fenomena dua darjat.

Kata Projek SAMA, usaha itu juga akan membina keyakinan orang ramai bahawa tahanan rumah tidak akan menjadi satu keistimewaan atau 'lorong keutamaan.'

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pertubuhan it.u berkata, apa yang turut menjadi keperluan ialah tindakan itu mengelakkan penjenayah terus berkuasa atau disalah gunakan dalam perjanjian politik.

“Kertas putih ini mesti dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebelum sebarang perubahan dibuat kepada undang-undang, undang-undang kecil atau perintah pentadbiran.

“Projek SAMA menegaskan sekiranya tahanan rumah digunakan dalam kes kesalahan rasuah 1MDB Najib Razak sebagai kad "keluar-keluar-penjara" rahsia, tahap kepercayaan rakyat serta dunia kepada Kerajaan Madani akan semakin berkurang

“Ringgit Malaysia akan menghadapi tekanan lebih besar sekiranya Kerajaan Madani dilihat bukan sahaja berada di bawah 'tawanan elit', tetapi 'tawanan' banduan,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, kertas putih memerlukan analisis SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman) sebelum dilaksanakan serta maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Ia juga memerlukan proses yang telus, konsisten, profesional dan bertanggungjawab untuk menentukan kelayakan pemohon.

Projek SAMA mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaannya tidak lagi menikmati kredibiliti dalam reformasi atau dalam memerangi rasuah yang dinikmati ketika ia berkuasa 15 bulan lalu.