Pelan 12 perkara yang diumumkan oleh Khazanah Nasional Bhd untuk membolehkan Malaysia Airlines (MAS) kembali mencatat keuntungan perlu dikaji, diperinci dan difahami, kata Kesatuan Pekerja Penerbangan Malaysia (MASEU).

Ketika mengalu-alukan pelan penstrukturan semula itu, Setiausaha Eksekutif MASEU, Mohd Jabbarullah Abd Kadir, berkata ada beberapa isu tertentu yang perlu dibincangkan oleh kesatuan itu dengan ahli-ahlinya.

"Pelan penstrukturan semula itu amat besar dan memberi kesan yang sangat besar juga ke atas 13,500 pekerja MAS yang menjadi anggota kami.

"Sebarang pelan penstrukturan semula untuk memulihkan MAS disambut baik, tetapi kami memerlukan masa yang cukup untuk membuat keputusan sama ada ia baik atau buruk bagi kakitangan. Di atas kertas, pelan itu mungkin hebat, tetapi bagaimana dengan pelaksanaan?" kata beliau kepada Bernama dalam satu wawancara.

Beliau berkata amat penting dinilai formula skim pemisahan sukarela (VSS) kerana ia mungkin menarik bagi kakitangan kanan, tetapi tidak bagi kakitangan bawahan yang mempunyai pengalaman kerja beberapa tahun.

Mohd Jabbarullah berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS (2005-2009), Datuk Seri Idris Jala (kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri) telah menetapkan penanda aras bagi VSS dengan menawarkan gaji satu setengah bulan yang didarab dengan tempoh perkhidmatan kepada 5,000 kakitangan MAS.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin, menyifatkan pelan itu sebagai satu proses penyusunan semula biasa, tetapi perinciannya tidak ada.

"Jawatan penting 6,000 pekerja yang akan diberhentikan atau bahagian mana yang terlibat masih merupakan tanda tanya. Angkanya amat besar dan bagaimana proses ini memberi manfaat kepada mereka belum diketahui.

"Ada pro dan kontra tetapi masih awal untuk diulas, terutamanya tentang perincian proses, jumlah pampasan yang akan dibayar kepada kakitangan, dan sama ada jumlah itu boleh mereka terima," katanya.

Beliau berkata NUFAM perlu mengkaji kuantum yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan utama lain seperti Japan Airlines dan Garuda.

Tentang cadangan Akta MAS untuk mempermudah penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu, Ismail berkata menyedari pihak-pihak yang bakal menjadi peserta utama baharu, pendaftaran syarikat baharu membimbangkan semua pihak.

Sementara itu, seorang juruterbang MAS yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun, berkata ide untuk membentuk sebuah syarikat baharu telah ditimbulkan semasa pertukaran saham AirAsia-MAS dan beliau menyokongnya asalkan ia membuahkan hasil yang positif.

Tentang dana berjumlah RM6 bilion bagi penstrukturan semula itu, beliau berkata ia seharusnya mencukupi kerana jumlahnya hampir sama seperti yang disebut oleh Idris Jala semasa beliau cuba memulakan satu pelan pemulihan.

Mengenai VSS, beliau berkata pekerja MAS yang hampir mencecah usia persaraan, berkemungkinan menerima tawaran itu, tetapi kuantumnya haruslah wajar, misalnya, dua atau tiga bulan gaji didarabkan dengan tempoh perkhidmatan, manakala rundingan haruslah telus.

Seorang pramugari kanan yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun berkata pelan penstrukturan semula itu akan menyuntik keyakinan baharu terhadap syarikat itu selepas dua tragedi.

"Ia boleh menjadi penguat semangat yang kita perlukan," tegas beliau.

Mengulas tentang VSS, beliau berkata: "Itu lebih baik daripada tiada apa-apa langsung. Tetapi itu satu pilihan, dan bergantung kepada berapa banyak syarikat sanggup bayar.

"Tahun ini merupakan tahun yang tragis dan kami memerlukan pengesahan daripada kerajaan bahawa MAS boleh dipulihkan," tegasnya. -- Bernama