Pelan Induk Perkapalan Malaysia bakal dimuktamad hujung tahun ini

Hilal Azmi
Oktober 5, 2016 08:00 MYT
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi pada majlis Hari Maritim Sedunia 2016 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
Pelan Induk Perkapalan Malaysia yang dirangka bagi merancak industri perkapalan negara bakal dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, pelan ini amat penting bagi penyelarasan sistem agar industri perkapalan negara terus dapat menyumbang kepada ekonomi negara.
"Ia turut melibatkan penyeragaman beberapa peraturan terutamanya yang melibatkan keselamatan kapal.
"Kita juga dah panggil beberapa pihak berkepentingan dalam industri ini untuk memberi input mereka," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Maritim Antarabangsa 2016 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan enam anugerah kepada penerima yang telah memberi sumbangan dalam sektor maritim Malaysia.
Antara anugerah yang disampaikan beliau ialah Anugerah Ikon Maritim Kebangsaan yang diberikan kepada Leslie Eu Peng Meng atas sumbangnnya dalam bidang maritim.
Selain itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Prestasi Cemerlang (Institut Latihan Maritim), Politeknik Ungku Omar, Anugerah Prestasi Cemerlang (Pembinaan Kapal), syarikat Muhibbah Marine Engineering Sdn Bhd, Anugerah Prestasi Cemerlang (Operator Pelabuhan) Northport Berhad dan Anugerah Prestasi Cemerlang (Syarikat Perkapalan), E.A. Technique (M) Berhad.
#Aziz Kaprawi #Hari Maritim Antarabangsa 2016 #Pelan Induk Perkapalan Malaysia