CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) optimis sasaran 80 peratus liputan rangkaian 5G di negara ini menjelang akhir tahun mampu dicapai dan berjalan seperti dirancang, bersandarkan kepada capaian 59.5 peratus dicatatkan setakat 30 April lalu.

Rangkaian 5G negara dibangunkan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) sehingga ia mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, peranan DNB adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian menerusi pendekatan berdasarkan penawaran (supply-driven).

Tambah beliau, sepatutnya tiada unsur monopoli mutlak yang timbul dalam perkara ini kerana meskipun DNB menjadi penyedia rangkaian borong tunggal, perkhidmatan 5G yang ditawarkan kepada pengguna turut melibatkan syarikat-syarikat telekomunikasi yang lain.

“Merujuk kepada laporan dikeluarkan oleh OpenSignal pada Mac lalu, terdapat perbezaan kualiti perkhidmatan 5G antara syarikat-syarikat telekomunikasi walaupun mereka bergantung kepada sebuah rangkaian yang sama.

“Ini kerana, perkhidmatan dinikmati pelanggan bergantung kepada kemampuan hujung ke hujung (end-to-end) rangkaian yang digunakan,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Menara 1 Bangunan MCMC di sini pada Khamis.



Sebagai rekod, Kabinet minggu lalu memutuskan pendekatan rangkaian borong tunggal negara akan beralih kepada model dwirangkaian, yang mana apabila berlaku peralihan kelak, kedua-dua rangkaian akan dimajukan oleh pihak industri.

Kerajaan berhasrat menetapkan syarat-syarat pelaksanaan yang ketat agar jaminan kualiti perkhidmatan 5G lebih baik dan perluasan rangkaian dapat dipercepatkan.

Menurut Mohd Ali, pelaksanaan model dwirangkaian 5G bertujuan melepaskan kepentingan kerajaan dalam DNB, memastikan persaingan pasaran yang sihat selain sebuah lagi rangkaian 5G dibangunkan bagi meningkatkan penerimagunaan agar terus memacu kualiti perkhidmatan telekomunikasi negara.

“Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi yang berasaskan kepada teknologi 5G secara komprehensif. Ia turut mengambil kira kemampanan ekonomi industri telekomunikasi negara, sekali gus menamatkan unsur monopoli dikaitkan dengan DNB.

“Selain memperkukuhkan lagi daya saing infrastruktur digital di Malaysia, model dwirangkaian ini mampu memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh perkhidmatan, tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada, pada kadar berpatutan, kepada pemegang taruh utama iaitu rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, penyediaan akses internet menerusi pelaksanaan transformasi digital yang baik di kawasan pedalaman mampu memberi manfaat dan peluang kepada masyarakat sekitar untuk menyertai ekonomi digital.

“Kita sudahpun mempercepatkan dan meningkatkan usaha dalam perkara ini dan menjangkakan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12, kemudahan berkenaan mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Kita juga menggesa golongan belia untuk aktif dan berani mencuba serta mencari peluang baharu dalam ekonomi digital. Melalui perkhidmatan disediakan di Pusat Ekonomi Digital, mereka boleh melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti ekonomi digital sekali gus mentransformasikan kehidupan mereka,” jelasnya.

Kementerian Komunikasi dan Digital pada minggu lalu bersetuju membentuk Pasukan Petugas bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dwirangkaian 5G di Malaysia.