Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2015 dengan tema ‘1 Bilion Pelancong, 1 Bilion Peluang’ merupakan kesempatan terbaik bagi Malaysia merancakkan lagi industri pelancongan negara.

Timbalan Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kementeriannya telah menyusun pelbagai inisiatif dan strategi untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurut beliau, prestasi cemerlang Malaysia dalam industri pelancongan perlu dipertingkat walaupun berdepan cabaran.

“Hari Pelancongan Sedunia ini kita sambut pada setiap tahun pada 27 September dan tahun ini kita menyambutnya dengan kejayaan apabila setelah 20 tahun, Malaysia terpilih untuk menjawat Naib Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) di Colombia pada 14 September,” ujar beliau.

Mas Ermieyati ditemui dalam majlis perasmian pameran fotografi pelancongan #Kolektif1 dan iklan bas 'Hop On Hop Off' sempena Hari Pelancongan Sedunia 2015 di Pusat Pelancongan Pelancong (MaTIC) di ibu negara.

Terdahulu beliau berkata, walaupun kunjungan pelancong pada suku pertama tahun ini seramai 6.48 juta orang, berkurangan berbanding 7.91 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, Malaysia sudah bersedia dengan pelan dan strategi untuk meningkatkan perangkaan tersebut menjelang akhir tahun ini.

Selain merancakkan kempen pelancongan domestik ‘Dekat Je’, Malaysia juga bakal meraikan sambutan Citrawarna pada 17 Oktober dan Street Art Festival pada 7 November nanti.

Dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia, seramai 36 juta pelancong asing dengan janaan pendapatan sebanyak RMM68 bilion disasarkan menjelang tahun 2020.

Cabaran jerebu boleh diatasi

Sementara itu ketika diminta mengulas sama ada keadaan jerebu menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini, Mas Ermieyati yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah itu berkata terdapat persiapan tertentu yang boleh dilakukan untuk mengurangkan impaknya terhadap industri itu.

“Kita boleh menghalakan penganjuran aktiviti pelancongan ke kawasan yang kurang berjerebu, menjalankan tindakan pengagihan topeng mulut dan hidung kepada pelancong selain menggalakkan aktiviti di kawasan tertutup,” kata beliau.

Mas Ermieyati juga mengajak semua pihak termasuk pemain industri dan rakyat Malaysia keseluruhannya memain peranan serta tanggungjawab bersama agar dapat mencegah kesan buruk jerebu.

Tambah beliau, ada juga pihak yang menyarankan agar memilih kaedah alternatif perjalanan darat seperti laluan kereta api untuk menuju ke destinasi pelancongan tertentu sekiranya pelan penerbangan tergendala akibat jerebu.