Pelan Pemulihan Negara bolehkan rakyat, peniaga buat perancangan lebih tersusun - Tengku Zafrul

Umavathi Ramayah
Jun 20, 2021 12:47 MYT
Tengku Zafrul memberitahu, Pelan Pemulihan Negara memberi ketentuan mengenai hala tuju negara untuk keluar daripada kemelut COVID-19. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dapat memberi gambaran kepada rakyat dan peniaga untuk membuat perancangan yang tersusun ketika mendepani pandemik.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu, ia memberi ketentuan mengenai hala tuju negara untuk keluar dari kemelut COVID-19.
"Pelan Pemulihan Negara amat penting membolehkan rakyat dan peniaga membuat perancangan yang sewajarnya. Pelan ini memperincikan hala tuju dan membuka jalan keluar daripada krisis COVID-19.
"Dengan indikator yang jelas dan mudah difahami, semua pihak dapat bersama-sama mendukung usaha ke arah peralihan dari satu fasa ke fasa yang seterusanya sehingga kita beralih keluar dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan tunai secara langsung kepada golongan terjejas akibat COVID-19.
Katanya, sejumlah RM8.1 bilion ringgit bakal disalurkan sehingga hujung tahun ini.
"Sepanjang krisis COVID-19, kerajaan memberi bantuan tunai, jumlah besar bantuan tunai secara langsung kepada rakyat adalah sebanyak RM16.7 bilion.
"Bantuan masih dalam proses pelaksanaan, baki peruntukan untuk trmpoh Jun hingga Disember ini, adalah sejumlah RM8.1 bilion. Ia termasuk Bantuan Prihatian Rakyat (BPR) bernilai RM4.5 bilion serta bantuan bulanan kebajikan masyarakat bernilai RM1.25 bilion," jelasnya.
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Khairy Jamaluddin #Muhyiddin Yassin #perintah kawalan pergerakan #COVID-19 #peniaga #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz