Pelan Vaksinasi Kebangsaan akan dibentangkan pada Januari depan - Khairy

Fareez Azman
Disember 23, 2020 12:27 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata Pelan Vaksinasi Kebangsaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Januari tahun hadapan. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 akan membentangkan Pelan Vaksinasi Kebangsaan kepada Jemaah Menteri pada awal Januari tahun 2021.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, ia termasuk perancangan secara menyeluruh sebelum negara menerima vaksin pada suku pertama 2021.
"Jawatankuasa Khas Jaminan Vaksin sedang menyediakan Pelan Vaksinasi Kebangsaan yang akan dibentangkan Jemaah Menteri pada awal Januari 2021.
"Ini termasuk hospital mana yang rakyat boleh daftar (untuk mendapatkan vaksin) dan soal lain dibincangkan seperti pekerja asing dan ekspatriat. Ini semua akan diperincikan, termasuk soal pengangkutan dan penyimpanan vaksin COVID-19," katanya.
Jelas Khairy, beliau telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Noor Hisham Abdullah berhubung fasiliti ultra cold freezer untuk digunakan sebagai simpanan vaksin dari Pfizer.
"Saya dah bincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, mana nak simpan vaksin Pfizer, manakala hospital lain, kita simpan vaksin lain (daripada pengeluar lain)," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan perolehan vaksin di Putrajaya pada Rabu.
#Khairy Jamaluddin #Kementerian Kesihatan #MOSTI #Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 #bekalan vaksin #Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan #Menteri Sains Teknologi dan Inovasi