MALAYSIA

Pelancaran garis panduan kuda kepang perkukuh kawal selia seni warisan di Johor

Bernama 02/12/2025 | 14:00 MYT
Kuda kepang yang diperbuat daripada kulit binatang dan anyaman buluh dipamerkan ketika tinjauan seni pembuatan kuda kepang di kediaman Suhadak Dolah di Parit Jawa. - Gambar Bernama
BATU PAHAT: Pelancaran Garis Panduan Persembahan Kuda Kepang Johor semalam adalah langkah memperkukuh kawal selia terhadap seni warisan itu agar bebas daripada sebarang unsur khurafat, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid.


Ringkasan AI
  • Garis Panduan Persembahan Kuda Kepang Johor diperkenalkan untuk memperkukuh kawal selia terhadap seni warisan itu agar bebas dari unsur khurafat, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.
  • Garis panduan baharu ini hasil kajian Jabatan Mufti Johor bersama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membenarkan permainan kuda kepang dilakukan berlandaskan syariat Islam, namun amalan yang bertentangan seperti menyeru makhluk halus adalah dilarang.
  • Masyarakat Islam, khususnya, diminta untuk tidak terlibat dalam persembahan kuda kepang yang mengandungi unsur khurafat, sama ada melalui penganjuran, pengamalan, tontonan, sokongan, atau penyebaran media, menurut Mohd Fared.


Beliau berkata garis panduan baharu hasil kajian Jabatan Mufti Johor bersama IInstitut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu membolehkan permainan kuda kepang diteruskan berlandaskan syariat.

Mohd Fared berkata sebarang amalan yang bertentangan dengan syariat Islam seperti menyeru makhluk halus, penyediaan sajen serta ritual yang boleh membawa kepada kerasukan, mabuk atau khayal adalah dilarang sama sekali.

"Masyarakat beragama Islam, terutamanya diminta untuk tidak terlibat dengan permainan kuda kepang yang mempunyai unsur khurafat, sama ada dalam bentuk penganjuran, pengamalan, tontonan, sokongan atau penyebaran melalui media cetak mahupun media elektronik," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Program Manfaat Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ) Tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan Peserai di sini.

Pada 9 Sept lepas, Bernama melaporkan fatwa mengenai persembahan kuda kepang di Johor sebenarnya telah digariskan sejak 2009 namun sehingga kini belum diwartakan kerana kerajaan negeri memilih pendekatan mendidik berbanding menghukum.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad dilaporkan berkata fatwa itu ditambah baik pada 2013 dan diperkukuh pada 2019 namun proses pewartaan mengambil masa kerana memerlukan kefahaman masyarakat yang jelas mengenai perbezaan antara seni budaya yang boleh dipelihara dengan amalan yang bercanggah syariat Islam.

-- BERNAMA


#Kuda Kepang #khurafat #seni warisan #mahkluk halus