Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Pelancaran LRT3 ditangguh, hadapi beberapa isu teknikal

Asyraf Malik 10/12/2025 | 04:45 MYT
Pengarah Projek Setia Utama LRT3, Patrick Hwang (dua, kanan) berkata keputusan diambil selepas data menunjukkan sistem masih belum mencapai tahap kestabilan sepenuhnya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM: Perkhidmatan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang sepatutnya dilancarkan pada 31 Disember terpaksa ditangguhkan sehingga semua ujian teknikal dan pentauliahan dipenuhi.


Ringkasan AI
  • Perkhidmatan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) ditangguhkan penjadualan pelancaran pada 31 Disember disebabkan sistem masih tidak stabil sepenuhnya.
  • Ujian teknikal menunjukkan terdapat 33 ralat perisian dan gangguan sistem termasuk tren gagal berhenti tepat di platform serta tidak mengikuti kelajuan yang diprogramkan.
  • Pelancaran LRT3 masih tiada tarikh baru, perlu ujian semula perisian dan kerjasama kontraktor untuk penambahbaikan tanpa menambah kos kepada kerajaan.


Pengarah Projek Setia Utama LRT3 (SULRT3), Patrick Hwang berkata keputusan itu diambil selepas data menunjukkan sistem masih belum mencapai tahap kestabilan sepenuhnya.

“Aset utama sudah melalui ujian larian tanpa gagal (FFR) sejauh 4,000 km. Pada awalnya tiada isu, namun selepas tren bergerak ribuan kilometer, timbul masalah teknikal, kami kenal pasti sebanyak 33 ralat perisian serta gangguan sistem.

“Antaranya tren tidak berhenti tepat di platform menyebabkan pintu gagal berfungsi dengan sempurna. Seterusnya, tren gagal memulakan perjalanan automatik ke stesen seterusnya. Selain itu, pergerakan tren tidak mengikuti kelajuan diprogramkan.

“Meskipun pelancaran perkhidmatan LRT3 tidak mengikuti pelan masa ditetapkan, perkara lebih mustahak adalah keselamatan dan kestabilan penggunaan jangka panjang,” ujar Patrick dalam satu sidang media mengenai kemajuan projek LRT3, di sini pada Rabu.

Setakat ini, LRT3 masih belum mempunyai jangka masa baharu untuk dilancarkan, perisian perlu diuji semula bagi memastikan tiada lagi isu teknikal yang timbul.

“Masih menjadi tanda tanya sekiranya kita akan dapat melancarkan LRT3 menjelang suku pertama tahun 2026, kita kena tengok dahulu tahap penyelesaian dan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Kita memerlukan penglibatan kontraktor isyarat, kontraktor tren (LRV), dan SULRT3 bagi analisa isu dan kerja penambahbaikan,” kata Patrick.

Tambah beliau, tiada penambahan kos kepada kerajaan bagi kelewatan pelancaran LRT3.

“Kontrak projek ini menggunakan kos tetap, maka tiada penambahan kos walaupun berlaku penangguhan,” jelasnya.



#LRT3 #tangguh #masalah teknikal #Projek Setia Utama LRT3 #terkini