KOTA KINABALU: Ketibaan lebih 1,000 pelancong Korea Selatan secara berterusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada malam Rabu lalu mencetuskan suasana huru hara di lapangan terbang itu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, situasi itu berlaku susulan lima syarikat penerbangan dari Korea Selatan mendarat di lapangan terbang berkenaan pada jarak masa yang dekat.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada Pengurusan KKIA, syarikat penerbangan yang tiba ketika itu ialah Jin Air (tiba dari Incheon pada 9.47 malam bersama 385 penumpang); Jeju Air (tiba dari Incheon, 157 penumpang); Air Busan (tiba dari Busan pada 10.40 malam, 193 penumpang); Jeju Air (tiba dari Incheon pada 11.25 malam, 179 penumpang); dan T'way (tiba dari Incheon pada 11.49 malam, 184 penumpang).

"Saya dimaklumkan oleh Pengurusan KKIA bahawa kesemua 10 kaunter Imigresen yang ada telah dibuka pada malam itu.

"Saya juga menerima maklum balas daripada pemain industri pelancongan dan ahli komuniti perniagaan yang melihat keadaan itu bahawa kemudahan tandas di lapangan terbang tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Christina menggesa Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) menyegerakan pelaksanaan menaik taraf kemudahan di KKIA kerana jelas terdapat keperluan mendesak untuk memanjangkan terminal di lapangan terbang ini.

"Kita memerlukan lebih banyak kaunter Imigresen dan saya fikir susunan semula kaunter adalah wajar untuk mengurangkan kesesakan dan melancarkan proses pelepasan," katanya.

Christina dalam pada itu turut melahirkan rasa kesalnya kerana amaran awal mengenai fenomena ini sebelum jangkaan pembukaan semula sempadan antarabangsa tidak diambil perhatian oleh pihak berkaitan.

Justeru, beliau menyeru pihak pengurusan KKIA untuk memulakan kerja dengan segera melalui pembinaan kemudahan sedia ada bagi menghadapi kebanjiran pelancong antarabangsa dan domestik.

Sebelum itu, Christina dimaklumkan bahawa MASB telah memperuntukkan sebanyak RM8.4 juta untuk menaik taraf kemudahan di KKIA.

Sebanyak RM1.4 juta daripada peruntukan itu akan dibelanjakan untuk menambah baik tandas awam di lapangan terbang dengan menambah lebih banyak bilik, manakala bakinya akan digunakan untuk projek naik taraf lain.

Ini termasuk penurapan semula landasan, dan menaik taraf lot komersial serta sistem Pengumuman Awam (PA). - Sinar Harian