MALAYSIA
Pelancong Malaysia dibakar dalam serangan di Bangkok: Keluarga mohon dibawa pulang

Keluarga berharap mangsa dapat dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin berikutan kekangan penginapan di negara asing. - Bernama
BANGKOK: Keluarga kepada dua pelancong Malaysia yang dibakar dalam satu kejadian di sini pada Khamis meminta pihak berkuasa Thailand membenarkan mereka dibawa pulang ke Malaysia sebaik sahaja keadaan kesihatan mengizinkan.
Dua rakyat Malaysia itu, dikenali sebagai Gan Xiao Zhen, 27, dan teman lelakinya Ong Yik Leong, 26, diserang oleh seorang lelaki penganggur yang didakwa menyimbah pencair sebelum membakar mereka berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri kira-kira pada 10 malam Khamis.
Gan Kin In, 80, berkata anak perempuannya itu tiba di Bangkok pada Rabu untuk bercuti, sehari sebelum kejadian berlaku.
"Hati saya berasa tidak sedap apabila Xiao Zhen memberitahu minggu lalu bahawa dia merancang untuk bercuti ke Thailand bersama teman lelakinya."Terlalu banyak kejadian berlaku di Thailand tahun ini, dan saya rasa ini bukan masa yang sesuai untuk melancong ke sini.
"Tetapi Xiao Zhen meyakinkan saya bahawa ia selamat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di King Chulalongkorn Memorial Hospital pada Sabtu.
Beliau berkata kedua-dua keluarga telah meminta laporan perubatan mengenai keadaan semasa mangsa semasa taklimat ringkas dengan pihak berkuasa Thailand dan kakitangan perubatan hospital.
Kin In menambah, keluarga berharap mangsa dapat dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin berikutan kekangan penginapan di negara asing.
"Kami baru tiba di Bangkok petang ini, dan pihak berkuasa Thailand telah mengaturkan taklimat serta lawatan untuk kami. Selain itu, kami juga berharap laporan perubatan dapat diberikan supaya kami boleh merujuk kepada doktor di Malaysia mengenai keadaan semasa mereka atau kemungkinan membawa mereka pulang dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata Xiao Zhen kini dirawat di Unit Rawatan Kebakaran, mengalami 36 peratus lecur tahap kedua pada muka, dada dan lengan.
"Dia sedar, berada dalam keadaan stabil dan berkomunikasi dengan menulis. Doktor memaklumkan dia mungkin memerlukan kira-kira sebulan untuk pulih," katanya.
Sementara itu, Yik Leong yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Police General Hospital juga berada dalam keadaan stabil.
Dalam kejadian pada Khamis, Xiao Zhen dan Yik Leong dibakar oleh seorang lelaki berusia 30 tahun dari wilayah Sa Kaeo, yang kemudian ditahan orang awam di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami