Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Pelancong Malaysia disaran berpakaian gelap ketika lawat Thailand susulan kemangkatan Ratu Sirikit

Astro Awani 27/10/2025 | 04:16 MYT
Thailand kini dalam tempoh berkabung rasmi selama setahun bagi penjawat awam dan 90 hari bagi orang awam, dengan bendera dikibarkan separuh tiang selama 30 hari. -Gambar fail/Reuters
KOTA BHARU: Rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Thailand disaran mengenakan pakaian berwarna hitam, putih atau warna gelap sebagai tanda penghormatan susulan kemangkatan Ratu Sirikit, ibu kepada Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn.


Ringkasan AI
  • Rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand disaran memakai pakaian berwarna hitam, putih atau gelap sebagai tanda hormat susulan kemangkatan Ratu Sirikit.
  • Thailand kini dalam tempoh berkabung rasmi selama setahun bagi penjawat awam dan 90 hari bagi orang awam, dengan bendera dikibarkan separuh tiang selama 30 hari.
  • Walaupun tidak diwajibkan, pemakaian pakaian gelap dianggap sebagai tanda keprihatinan terhadap budaya Thailand dan disarankan terutama ketika melawat tempat awam atau menghadiri acara rasmi.


Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand–Asia Tenggara (TAHTA), Aida Oujeh berkata, walaupun pemakaian sedemikian tidak diwajibkan, ia dianggap sebagai tanda keprihatinan dan penghormatan terhadap budaya Thailand yang kini dalam tempoh berkabung.

“Rakyat Thailand amat menghargai pelawat yang menunjukkan sensitiviti budaya, terutamanya dalam tempoh perkabungan rasmi.

"Pemakaian pakaian gelap mencerminkan rasa hormat dan kesopanan,” katanya dalam kenyataan kepada media tempatan hari ini.

Thailand kini dalam tempoh berkabung selama setahun bagi penjawat awam dan 90 hari bagi orang awam, dengan bendera kebangsaan dikibarkan separuh tiang selama 30 hari di seluruh negara.

Pemergian Ratu Sirikit pada usia 93 tahun telah mencetuskan suasana hiba di seluruh negara, dengan pelbagai acara rasmi ditangguhkan dan rakyat diminta menjaga adab berpakaian serta tingkah laku di tempat awam.

Pelancong dari Malaysia yang memasuki Thailand melalui sempadan darat di Kelantan, Kedah dan Perlis turut disaran mengambil maklum perkara ini, terutamanya ketika melawat tempat awam, kuil atau menghadiri acara rasmi.





#rakyat Malaysia #ratu sirikit #Maha Vajiralongkorn #pakaian hitam putih atau gelap #tanda hormat