MALAYSIA
Pelancongan candat sotong beri nafas lega kepada nelayan

Para nelayan turut menarik nafas lega apabila aktiviti mencandat sotong berupaya menarik perhatian pelancong untuk merasai sendiri pengalaman unik tersebut. - Astro AWANI/Seth Akmal.
KUALA LUMPUR: Komuniti nelayan di Terengganu lega aktiviti mencandat sotong mampu memulangkan pendapatan tambahan ketika bergelut dengan isu kos sara hidup.
Mereka kini dapat menarik nafas lega apabila aktiviti berkenaan turut menarik perhatian pelancong untuk merasai sendiri suatu pengalaman unik.
Azrul Aladdin, 28, yang meneruskan legasi ayahnya selaku nakhoda jenis bot C berkata, tanpa aktiviti candat sotong, pendapatan bulanannya hanya dapat mencecah RM1,500 sebulan.
“Ketika musim angin tenggara, untung RM300-RM400 seminggu, dan sebulan RM1,200 hingga RM1,500. Mana yang ada tanggungan mungkin tak cukup, maka daripada aktiviti candat boleh dapat hasilkan pendapatan tambahan,” katanya.Aktiti tersebut dilakukan pada musim angin tenggara pada Mei hingga September, ketika kebiasaannya hasil tangkapan ikan di laut kurang berbanding Januari hingga Mei.
“Kalau ikutkan pada tahun ini hasil ikan kurang daripada tahun lepas, mungkin disebabkan faktor perubahan cuaca,” katanya.
Isu mengenai kos sara hidup turut membelenggu para nelayan kerana memberi kesan kepada kos persediaan mereka untuk ke laut.
“Dulu barang (kelengkapan) RM20 sekarang RM50 atau RM60, tetapi hasil tetap macam sama dari dulu. Dulu ikan senang (dapat) dan banyak tapi harga murah.
“Sekarang ikan kurang tapi harga ada sedikit naik dan turun,” jelasnya.
Astro AWANI turut meninjau aktiviti libat urus dengan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil bersama para nelayan, yang antara lain peluang itu digunakan untuk mendengar pandangan dan rintihan nelayan berhubung pelbagai isu.
Faiz berkata, kerajaan mengambil maklum ada nelayan yang berpendapatan tinggi, khususnya bagi yang mengendalikan bot besar. Namun, masih ada lagi yang bertaraf miskin tegar, iaitu mereka yang dari golongan pengendali bot kecil dan juga kru bot.
Tegas Faiz, golongan berkenaan harus mendapat pembelaan dari pihak kerajaan.
“Kena ingat bahawa untuk mendapatkan kehidupan yang sejahtera dan makanan yang cukup adalah daripada pengorbanan dan juga perjuangan wira-wira laut. Memang bukan satu kerja yang mudah,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami