MALAYSIA

Pelancongan desa Selangor berpotensi jadi model rujukan nasional kempen TMM2026

Bernama 24/12/2025 | 13:45 MYT
Pelancongan desa berpotensi besar dalam menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang di samping memelihara budaya dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat. - Gambar hiasan/Bernama
SHAH ALAM: Pendekatan strategik Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh pelancongan desa bukan sahaja dilihat mampu merancakkan ekonomi komuniti setempat malah berpotensi menjadi model rujukan nasional bagi negeri lain menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).


Ringkasan AI
  • Selangor memperkukuh pelancongan desa dengan inisiatif pemerkasaan komuniti, pembangunan hos tempatan, dan peningkatan ekosistem pelancongan.
  • Pendekatan mampan ini membantu pertumbuhan ekonomi jangka panjang sambil memelihara budaya dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
  • Fokus Kerajaan Negeri Selangor terhadap pembangunan pelancongan desa mendapat sokongan daripada Persatuan Pelancongan Malaysia untuk rantaian yang lebih menyeluruh dan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.


Ketua Komunikasi Korporat dan Pengurusan Acara, Institut Kecemerlangan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Madya Dr Mohd Raziff Jamaluddin berkata melalui pelbagai inisiatif berfokuskan pemerkasaan komuniti, pembangunan hos tempatan serta penambahbaikan ekosistem pelancongan, Selangor berjaya mengimbangi pembangunan pesat bandar dengan pemeliharaan identiti desa, budaya dan warisan tempatan.

Beliau berkata daripada perspektif pengurusan mampan, pelancongan desa berpotensi besar dalam menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang di samping memelihara budaya dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

"Dalam konteks serantau menerusi Standard Pelancongan ASEAN, Selangor menunjukkan prestasi memberangsangkan merangkumi pembangunan fasiliti perhubungan, kemudahan pengunjung, tahap keselamatan, kepelbagaian maklumat dan konsistensi pengalaman pelancong.

"Keupayaan Selangor menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan dalam satu kawasan geografi yang padat menjadikan ia destinasi yang efisien dari segi masa dan kos perjalanan khususnya bagi pelancong antarabangsa yang mempunyai tempoh lawatan singkat," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Raziff berkata Selangor juga menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam semua aspek pelancongan, dan ini dibuktikan melalui tahap kepuasan pelawat yang tinggi terhadap kemudahan asas, hospitaliti komuniti setempat, tahap keselamatan serta kebolehcapaian destinasi di seluruh negeri.

Presiden Persekutuan Pelancongan Malaysia (MTF) Dr Sri Ganesh Michiel pula berkata fokus Kerajaan Negeri Selangor terhadap pembangunan pelancongan desa merupakan langkah strategik bagi membina rantaian yang lebih menyeluruh serta mampan sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Beliau berkata pelancongan desa berupaya memperkukuh penjenamaan Selangor sebagai destinasi pelancongan yang seimbang antara kemodenan bandar dan keunikan desa selain membantu memanjangkan tempoh penginapan pelancong serta meningkatkan perbelanjaan merentasi pelbagai sektor ekonomi.

"MTF menyokong sepenuhnya pendekatan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasakan pelancongan desa melalui kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri hotel, ejen pelancongan dan komuniti tempatan bagi memastikan pertumbuhan pelancongan yang inklusif serta mampan menjelang TMM2026," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata Selangor akan meneruskan momentum Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 pada 2026 sebagai sokongan kepada Pakej Lengkap Desa Kirana di Sekinchan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, antara lain bertujuan memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara langsung oleh penduduk selain mempromosikan seni, budaya serta keunikan tempatan sebagai tarikan utama.

Desa Kirana, yang merupakan inisiatif strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi memperkukuh pelancongan desa yang mampan, inklusif dan berdaya saing selaras persediaan negara menjelang TMM2026, menonjolkan keunikan kawasan luar bandar melalui pengalaman warisan budaya, keindahan alam semula jadi, gastronomi tempatan, hasil kraf serta kehidupan desa yang autentik.

-- BERNAMA


#ASEAN #pelancongan #UiTM #TMM2026