KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap pelancongan domestik terus menunjukkan pertumbuhan positif apabila Dewan Pelancongan Domestik Malaysia di MATTA Fair mampu menjana jualan antara RM15 juta hingga RM16 juta setiap kali penganjurannya.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, perkembangan itu mencerminkan perubahan trend dalam kalangan rakyat yang semakin menghargai keunikan dan potensi pelancongan tempatan.
Menurut beliau, Dewan Pelancongan Domestik Malaysia yang menghimpunkan pemain industri dari seluruh negara kini menjadi antara pameran pelancongan domestik terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.
“Setiap kali MATTA Fair berlangsung, dewan ini mampu menjana jualan antara RM15 juta hingga RM16 juta bagi produk pelancongan domestik sahaja.
“Perkembangan ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin berminat meneroka keindahan negara sendiri dan mula menghargai potensi yang dimiliki Malaysia,” katanya ketika berucap pada pembukaan MATTA Fair Kebangsaan ke-59 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), pada Sabtu.
Beliau berkata, peningkatan permintaan terhadap pelancongan domestik turut memberi kesan positif kepada keseluruhan industri apabila mendorong lebih banyak inovasi dan kreativiti dalam pembangunan produk serta destinasi pelancongan tempatan.
Dalam pada itu, Nigel berkata, MATTA Fair kali ini menghimpunkan penyertaan 16 organisasi pelancongan kebangsaan dari seluruh dunia termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, India, Taiwan dan Uzbekistan.
Menurutnya, penyertaan antarabangsa yang memberangsangkan itu membuktikan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai hab pelancongan serantau.
Beliau turut menegaskan, industri pelancongan kekal berdaya tahan walaupun berdepan pelbagai cabaran global termasuk ketidaktentuan geopolitik dan isu alam sekitar.
“Industri pelancongan telah membuktikan bahawa ia merupakan sektor yang sangat berdaya tahan, mudah menyesuaikan diri dan fleksibel.
“Untuk memastikan sektor ini terus berkembang, ia memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri, organisasi pelancongan serta rakan antarabangsa,” katanya.
Edisi kali ini menghimpunkan penyertaan terbesar melibatkan agensi pelancongan berlesen, syarikat penerbangan, hotel serta organisasi pelancongan tempatan dan antarabangsa yang beroperasi di 10 dewan pameran di MITEC.
Sebanyak 12 Organisasi Pelancongan Negeri (STO) dan 16 Organisasi Pelancongan Nasional (NTO) dari seluruh dunia mengambil bahagian, dengan Taiwan dipilih sebagai Destinasi Antarabangsa Pilihan bagi penganjuran kali ini.
Kerajaan menyasarkan 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan hasil pelancongan berjumlah RM147.1 bilion menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
MATTA Fair berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad dengan kemasukan percuma kepada pengunjung.
Nigel berkata, MATTA akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pemain industri bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang kini dilanjutkan sehingga penghujung 2027 bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.