Skip to main content

Malaysia

Pelancongan kesihatan Malaysia jana hasil RM1.74 bilion setakat Jun

Indonesia kekal sebagai negara sumber pesakit antarabangsa terbesar Malaysia tahun ini, diikuti oleh China, Bangladesh dan Kemboja. - Gambar hiasan
Indonesia kekal sebagai negara sumber pesakit antarabangsa terbesar Malaysia tahun ini, diikuti oleh China, Bangladesh dan Kemboja. - Gambar hiasan

Advertisement

SEPANG: Sektor pelancongan kesihatan di Malaysia menjana hasil penjagaan kesihatan sebanyak RM1.74 billion dari Januari hingga Jun lepas, dengan merekodkan ketibaan 888,805 pelancong kesihatan, menurut data awal daripada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Angka berkenaan, yang dikumpulkan setakat 20 Okt, berdasarkan Kadar Respons Purata Kumulatif (CARR) sebanyak 80 peratus, dengan pengumpulan data masih berjalan dan angka berkenaan tertakluk pada kemas kini.

Pengurus Pasaran Ekspatriat MHTC Suryani Mustapha berkata Indonesia kekal sebagai negara sumber pesakit antarabangsa terbesar Malaysia tahun ini, diikuti oleh China, Bangladesh dan Kemboja.

Beliau berkata Kemboja mencatat peningkatan jumlah pesakit paling ketara, manakala pasaran Timur Tengah terbukti mencabar tahun ini berikutan krisis serantau.

"Daya tarikan Malaysia terletak pada ekosistem pelancongan kesihatan bersepadu, menggabungkan rawatan perubatan, penginapan, logistik dan sokongan pelancongan di bawah konsep ‘Healing with Hospitality’, dengan Tourism Malaysia membantu pesakit bagi keperluan berkaitan perjalanan," katanya kepada Bernama di luar program MH Wellness di sini, pada Khamis.

Suryani berkata dalam keadaan itu, MHTC mempergiat usaha untuk mempromosikan perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia melalui penglibatan komuniti dan pendidikan penjagaan kesihatan pencegahan termasuk beberapa program MH Wellness.

Beliau berkata program itu memperkenalkan pelajar antarabangsa dan ekspatriat kepada rawatan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh hospital ahli MHTC dan perkhidmatan berkaitan, selain meningkatkan kesedaran amalan gaya hidup sihat.

"Sambil mempromosikan penjagaan kesihatan Malaysia kepada pasaran ekspatriat, kami juga melakukan perkara ini sebagai sebahagian daripada perkhidmatan komuniti untuk memberikan lebih banyak pendidikan kepada orang ramai tentang cara menjaga kesihatan mereka dengan lebih baik," katanya sambil menambah pemeriksaan kesihatan secara berkala dapat membantu individu mengenal pasti faktor risiko dan mendapatkan nasihat perubatan yang sesuai.

Sementara itu, penyedia penjagaan kesihatan yang menyertai program berkenaan memaklumkan inisiatif jangkauan MHTC menawarkan peluang untuk berinteraksi dengan bakal pesakit dari luar negara, di samping meningkatkan kesedaran tentang keupayaan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Eksekutif Pemasaran Kanan TAGS Chiropractic & Rehab Zaim Qayyum Zaimyruddin berkata pesakit luar negara secara umumnya sudah biasa dengan rawatan kiropraktik, namun penyedia tempatan masih berperanan mendidik orang ramai tentang rawatan itu dan kepentingan memilih pengamal yang mempunyai kelayakan sewajarnya.

Beliau berkata pengalaman syarikat itu menunjukkan bahawa sesetengah pesakit antarabangsa, terutamanya dari Singapura, mendapatkan perkhidmatan kiropraktik di Malaysia, manakala keluarga dari Indonesia datang ke negara ini untuk menerima rawatan bagi masalah muskuloskeletal tertentu, termasuk skoliosis.

"Maklum balas daripada pesakit antarabangsa menunjukkan bahawa ketersediaan kemudahan, kepakaran doktor pakar dan pendekatan rawatan moden merupakan faktor yang mempengaruhi pilihan mereka terhadap Malaysia," katanya.

Pegawai Pelancongan Kesihatan KPJ Sentosa KL Muhammad Danial Mohd Khair berkata penyertaan dalam program berkenaan membolehkan hospital itu memperkenalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada khalayak antarabangsa dan berinteraksi secara langsung dengan bakal pesakit.

Beliau berkata sokongan tambahan untuk pesakit antarabangsa termasuk pengangkutan dari lapangan terbang dan bantuan semasa lawatan ke hospital, adalah antara perkhidmatan yang boleh disediakan hospital bagi memudahkan urusan penjagaan kesihatan mereka.

Sementara itu, Serena Ng daripada Alpha IVF & Women’s Specialists berkata aktiviti promosi MHTC membantu penyedia penjagaan kesihatan mendekati kumpulan sasaran menerusi acara yang disesuaikan dengan khalayak tertentu.

"Daya tarikan Malaysia dalam rawatan kesuburan bukan hanya terletak pada harga, tetapi juga merangkumi kualiti perkhidmatan dan teknologi, yang merupakan pertimbangan penting bagi pesakit luar negara memilih lokasi untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Program MH Wellness, yang diadakan di Universiti Xiamen Malaysia, turut menampilkan pameran penjagaan kesihatan, pemeriksaan postur badan, aktiviti pasport kesejahteraan, bercerita, seni dan kraf, yoga serta cabutan bertuah.

MHTC juga berhasrat untuk meluaskan jangkauannya menerusi kandungan digital di platform seperti audio siar dan YouTube untuk mendekati khalayak tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement