MALAYSIA

Pelancongan Malaysia lepasi RM210 bilion, data bantu rancang strategi mampan – DOSM

Astro Awani 08/11/2025 | 05:09 MYT
Mohd Uzir (gambar) menyediakan makanan tradisi bubur lambuk untuk diagihkan pada Program Sosial dan Rekreasi Korporat sempena Sesi ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) di Perkampungan Hang Tuah, Duyong. -Foto Astro AWANI
MELAKA TENGAH: Sektor pelancongan negara terus menunjukkan tanda pemulihan positif apabila statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan peningkatan jumlah pelancong domestik dan antarabangsa, dengan Melaka kekal antara destinasi pilihan utama pelawat tempatan.


Ringkasan AI
  • Sektor pelancongan negara terus menunjukkan tanda pemulihan positif apabila statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan peningkatan jumlah pelancong domestik dan antarabangsa, dengan Melaka kekal antara destinasi pilihan utama pelawat tempatan.
  • Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu turut dipacu oleh pelbagai inisiatif kerajaan serta promosi agresif sektor pelancongan, yang secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan pendapatan isi rumah.
  • Beliau berkata, berdasarkan data yang dikumpul, peningkatan ketara dapat dilihat dalam pergerakan pelancong domestik, khususnya ke negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu.


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata peningkatan itu turut dipacu oleh pelbagai inisiatif kerajaan serta promosi agresif sektor pelancongan, yang secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan pendapatan isi rumah.

Beliau berkata, berdasarkan data yang dikumpul, peningkatan ketara dapat dilihat dalam pergerakan pelancong domestik, khususnya ke negeri seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu.

“Kita menyediakan data statistik yang boleh digunakan untuk mengukur pencapaian pelancongan negara yang mana dalam tempoh setahun pelancongan Malaysia melepasi nilai RM210 bilion dan kira-kira RM105 bilion daripadanya disumbangkan oleh pelancongan domestik.

“Angka ini bukan sahaja menunjukkan kekuatan pasaran domestik, malah membuktikan rakyat Malaysia sendiri menjadi penyumbang besar kepada ekosistem pelancongan negara, yang menyokong ribuan peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi di peringkat tempatan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Sesi ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) di Perkampungan Hang Tuah, Duyong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir menjelaskan bahawa peningkatan keupayaan negara dalam pengumpulan dan analisis data pelancongan dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan negara dan rantau ASEAN.

Mohd Uzir menyantuni delegasi ASEAN dengan bermain permainan tradisional pada Program Sosial dan Rekreasi Korporat sempena Sesi ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) di Perkampungan Hang Tuah, Duyong. - Foto Astro AWANI


“Apabila kita tahu berapa ramai yang datang, dari mana mereka datang dan apa aktiviti yang mereka lakukan, data itu boleh digunakan untuk meningkatkan pengalaman pelancong serta merancang infrastruktur dengan lebih baik.

“Ia juga membantu kerajaan dan agensi pelancongan menilai keberkesanan dasar sedia ada, sekali gus merancang strategi promosi dan pembangunan yang lebih berfokus dan berimpak tinggi untuk setiap negeri,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara DOSM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta kerajaan negeri perlu diteruskan bagi memastikan data yang dikumpul dapat diterjemahkan kepada tindakan dasar yang efektif.

“Pelancongan bukan sekadar sektor ekonomi. Ia juga memberi kesan sosial, budaya dan alam sekitar.

“Sebab itu, data yang tepat dan menyeluruh amat penting bagi memastikan pertumbuhan sektor ini bukan sahaja mampan, tetapi juga seimbang dengan kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.”

Dalam pada itu, Mohd Uzir turut memaklumkan bahawa Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara meningkat sebanyak 5.7 peratus pada September 2025, berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya, dipacu oleh pertumbuhan kukuh sektor perlombongan dan pembuatan.

Sektor perlombongan mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 10.2 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 5.0 peratus dan elektrik 2.1 peratus.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan ketahanan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global serta keyakinan berterusan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.



#DoSM #sektor pelancongan #Sistem Statistik Komuniti ASEAN #ekonomi #destinasi pilihan