Pelancongan perubatan Malaysia disasar sumbang RM3 bilion tahun ini

Dzulkefly berkata, pertumbuhan pesat sektor itu turut disokong oleh pelaksanaan inisiatif Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan pendapatan RM3 bilion daripada sektor pelancongan perubatan pada tahun ini dengan ketibaan 2.5 juta pengunjung.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sasaran itu realistik susulan kehadiran 1.6 juta pelancong kesihatan tahun lalu dan berjaya menjana pendapatan RM2.72 bilion.
Beliau berkata, pertumbuhan pesat sektor itu turut disokong oleh pelaksanaan inisiatif Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 yang dijangka menarik lebih ramai pelawat kesihatan dari seluruh dunia.
“Ini adalah unjuran kita. Kami percaya boleh melepasi sasaran hasil ini. Kami akan berusaha mencapai hasrat tersebut,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian anugerah Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) 2025 di ibu negara pada Selasa.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Surighandi Suppiah serta Duta Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Duta Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026, Datuk Seri Siti Nurhaliza. - Foto Astro AWANI
“Peranan saya untuk mempromosikan kualiti perkhidmatan kesihatan negara. Kebanyakan yang datang ke Malaysia memang tidak dinafikan untuk dapat rawatan pelbagai penyakit misalnya masalah jantung, kanser, persenyawaan tabung uji (IVF).
“Bila cakap IVF ini, sudah tentu mereka melihat saya sebagai wanita yang melalui IVF untuk mendapatkan cahaya mata. Jadi memang ramai kawan-kawan dari rantau ini misalnya Indonesia, Singapura… sering bertanya kepada saya, di mana hospital terbaik untuk mendapatkan rawatan. Saya bangga jadi rakyat Malaysia sebab kita ada ramai pakar-pakar terbaik di dunia,” kata Biduanita Negara itu.
Pada majlis tersebut, Island Hospital Pulau Pinang dinobat sebagai penerima Anugerah FMTH 2025 atas kecemerlangan dalam perkhidmatan perubatan, keunggulan servis dan kekuatan jenama bertaraf antarabangsa.
Finalis FMTH lain termasuk Institut Jantung Negara (IJN), yang menerima Anugerah Kecemerlangan Pertumbuhan Pendapatan Pelancongan Kesihatan; Mahkota Medical Centre Melaka (Pemimpin Perkongsian Strategik Industri); dan Subang Jaya Medical Centre (Kecemerlangan Penjenamaan).
Dalam ucapan pembukaannya, Dzulkefly berkata, penganjuran Anugerah FMTH telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan di peringkat global.
Katanya, ia mencerminkan komitmen berterusan negara terhadap kecemerlangan klinikal dan perkhidmatan berkualiti tinggi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


