ALOR GAJAH: Seorang pelanggan dan pekerja sebuah kedai makan tomyam cedera parah selepas terperangkap bawah runtuhan atap akibat ditimpa pokok tumbang di premis itu di Londang, Masjid Tanah di sini malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.37 malam tadi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba Masjid Tanah digerakkan ke lokasi kejadian dalam tempoh satu minit kemudian.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian, anggota bertugas mendapati terdapat dua mangsa masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 30-an dan seorang wanita warga Thailand berusia 20-an berada di bawah runtuhan atap kedai itu.
"Lelaki tempatan berkenaan merupakan pelanggan, manakala wanita itu pula adalah pekerja kedai makan tersebut dan sepasukan anggota dengan kekuatan tujuh orang dari Balai Bomba Masjid Tanah berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa dalam tempoh kira-kira 30 minit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata kedua-dua mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada badan dan kepala sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA