Pelantikan ini satu amanah dan tanggungjawab besar - Fadillah Yusof

Syafik Shukri Jalil
Ogos 27, 2021 09:14 MYT
Ia merupakan portfolio sama diketuai Fadillah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak. FOTO: GAMBAR FAIL
KUALA LUMPUR: Pelantikan semua Ahli Parlimen dalam kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar demi rakyat dan negara.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, kabinet itu merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat yang perlu bertindak pantas dan bersepadu.
‘’Saya sedar dan insaf pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada kabinet baharu ini.
‘’Fokus kita sekarang adalah untuk memastikan kestabilan politik, menangani pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi negara, demi kelangsungan ekonomi dan kehidupan rakyat,’’ katanya.
Justeru, Fadillah menggesa penglibatan semua pihak termasuk ahli politik dalam usaha membantu menjayakan usaha tersebut.
‘’Peranan pihak media juga amat penting dan dalam hal ini saya berterima kasih kerana selama ini pihak media sememangnya banyak membantu usaha kerajaan dalam menangani pandemik.
‘’Semua pihak perlu berpadu tenaga dan menghentikan unsur-unsur negatif demi membebaskan negara daripada ancaman pandemic,’’ tambahnya.
BACA: Kabinet baharu: 16 menteri dan timbalan menteri dari Sabah, Sarawak
BACA: Fadillah, Ongkili 'orang kuat' Sabah, Sarawak dalam Kabinet baharu
BACA: Fadillah pegang jawatan sama dalam pembentukan tiga kerajaan terakhir
Dalam perkembangn sama, Fadillah turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelantikan empat menteri penuh dan timbalan Menteri yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).
‘’Perlantikan saya untuk meneruskan portfolio Menteri Kanan Kerja Raya dan tiga wakil GPS sebagai Menteri penuh, serta empat lagi sebagai Timbalan Menteri adalah pengiktirafan untuk rakyat Sarawak dan GPS di bawah kepimpinan cemerlang Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,’’ ujarnya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Petra Jaya itu dinamakan semula sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dan Datuk Arhthur Joseph Kurup dinamakan sebagai timbalannya.
Ia merupakan portfolio sama diketuai Fadillah di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak.
#Kabinet Baharu #ismail sabri yaakob #Menteri Kanan Kerja Raya #Ahli Parlimen GPS