Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – ikuti perkembangan harian prosiding mahkamah di sini.
MALAYSIA

Pelantikan Panel Penasihat NADI bantu rapatkan jurang komuniti setempat - Fahmi

Bernama 16/10/2025 | 11:30 MYT
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sebelum ini, lokasi NADI hanya dapat memberi manfaat kepada komuniti yang berada dalam lingkungan antara satu hingga dua kilometer dari pusat maklumat itu. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Pelantikan Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dijangka dapat merapatkan pusat maklumat itu dengan komuniti setempat terutama yang berada di uar lingkungan liputannya.


Ringkasan AI
  • Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelantikan Panel Penasihat NADI akan memantapkan operasi pusat maklumat itu dan merapatkannya dengan komuniti luar kawasan liputan.
  • Kerajaan memperuntukkan RM350 juta dalam Belanjawan 2026 untuk memperkasakan 1,099 NADI seluruh negara termasuk membantu usahawan desa secara dalam talian.
  • MCMC turut menjelajah sekolah dan kampung bagi mempromosikan keselamatan Internet serta membawa perkhidmatan NADI terus ke komuniti yang jauh.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sebelum ini, lokasi NADI hanya dapat memberi manfaat kepada komuniti yang berada dalam lingkungan antara satu hingga dua kilometer dari pusat maklumat itu.

"Penubuhan panel penasihat ini diharap dapat memantapkan operasi NADI sekali gus menghantar mesej mengenai kepentingan keselamatan dalam talian kepada komuniti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus NADI dan Pelantikan Panel Penasihat NADI Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Fahmi berkata pihaknya menerima aduan bahawa komuniti di kawasan yang lebih jauh tidak berkesempatan atau berdepan masalah pengangkutan untuk datang ke NADI maka Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil inisiatif untuk membawa NADI terus ke beberapa kampung.

Beliau berkata dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi memperkasakan semua 1,099 NADI di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2026, berkata MCMC menyediakan RM350 juta bagi memperkasakan NADI termasuk membimbing usahawan desa untuk menambah pendapatan melalui perniagaan dalam talian.

Fahmi berkata NADI diwujudkan di luar kawasan lingkungan agar komuniti MADANI yang tinggal berjauhan tidak terpisah dan dapat menikmati kemudahan Internet.

"Kita tidak mahu hanya kampung tertentu sahaja yang mendapat akses kepada perkhidmatan di NADI, jadi kita bawa NADI ke dalam komuniti," katanya.

Beliau juga berkata MCMC telah menjelajah ke lebih 3,800 institusi pendidikan untuk mengadakan ceramah bagi menyampaikan mesej terutama kepada pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai penggunaan Internet yang selamat.

Fahmi berkata Internet adalah selamat sekiranya digunakan dengan penuh waspada dan penggunaan media sosial dihadkan bagi kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

-- BERNAMA



#Pelantikan Panel Penasihat NADI #Pusat Sebaran Maklumat Nasional #rapatkan jurang komuniti setempat #Fahmi Fadzil