MALAYSIA
Pelantikan Pengerusi Perbadanan Labuan di peringkat akhir - Dr Zaliha

Dr Zaliha pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pelantikan pengerusi baharu Perbadanan Labuan kini di peringkat akhir dan akan diumumkan apabila keputusan telah dimuktamadkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata pelantikan itu bukan sengaja dilewatkan, sebaliknya dilakukan dengan teliti bagi memastikan individu yang dilantik benar-benar memahami keperluan dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi Labuan.
"Saya kira, kita pun tidak perlu tergesa-gesa dalam membuat keputusan kerana soal pelantikan ini bukan hanya untuk mengisi kekosongan sedia ada, tetapi yang lebih penting adalah kita melihat kepada merit dan bagaimana pengerusi itu dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan Labuan.
"Perkara yang berkaitan asal usul pengerusi ini saya kira tak menjadi persoalan, sebab kalau kita tengok sama ada dari Labuan ke Sabah ke atau dari mana-mana, menteri sekarang pun bukan orang Labuan tapi yang penting kita bekerja untuk Labuan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.Dr Zaliha menjawab soalan tambahan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) yang ingin tahu sebab kelewatan pelantikan Pengerusi Perbadanan Labuan dan sama ada faktor asal usul calon terutamanya dari Sabah akan mempunyai kelebihan untuk mengisi jawatan itu.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sedang meneroka beberapa sektor baharu termasuk pertanian dan ekonomi biru dalam usaha mempelbagaikan ekonomi Labuan.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan membuka peluang kepada Labuan untuk memasuki sektor lain serta tidak bergantung kepada industri minyak dan gas serta kewangan pesisir, dengan pihaknya akan merangka dasar yang jelas, fokus dan berstruktur.
"Kalau lihat agro island adalah dasar progresif yang boleh menjadikan Labuan sebagai sebuah pulau dengan tahap keterjaminan makanan yang tinggi. Cuma cabarannya kita sekarang ini dalam pelan struktur ialah zon guna tanah sektor pertanian (di Labuan) 0.22 peratus atau 154.45 hektar.
"Bagaimanapun, kita boleh lihat untuk memperluas pantauan dan keperluan semasa dengan menggunakan pendekatan teknologi moden terhadap zon tanah yang mungkin agak kecil ini seperti elemen membawa pelaburan dalam pertanian pintar atau keluaran pertanian utama, mungkin kita boleh lihat (potensi) tanaman sayuran," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang ingin tahu rancangan kerajaan bagi memperkukuh ekonomi tempatan supaya tidak terlalu bergantung kepada sektor kewangan mahupun minyak dan gas.
Dr Zaliha berkata bagi ekonomi biru pula, akuakultur menggunakan kaedah moden akan diteroka dan beberapa kawasan kajian marin akan cuba diwujudkan untuk menarik pasukan pengkaji domestik serta luar negara untuk menetap dalam jangka panjang di Labuan sekali gus akan membantu ekonomi di pulau itu.
Menjawab soalan asal Suhaili mengenai Borneo Flora Festival@Labuan 2025 (BFF2025) yang akan berlangsung pada 26 hingga 30 Julai ini di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa (KSLA) Labuan, beliau berkata festival itu sebagai langkah pertama untuk menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebuah hab pameran dan pertunjukan bunga serantau.
"Selain merangsang industri landskap dan hortikultur tempatan, menjana ekonomi komuniti melalui limpahan pelancong dan memupuk kecenderungan dan menanamkan mindset kepada pelancong dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia untuk memilih Labuan sebagai destinasi pelancongan utama pada hujung minggu dan musim percutian," katanya.
Berhubung pulangan pelaburan BFF2025, beliau berkata ia tidak boleh dikira hanya daripada transaksi yang berlaku di tapak acara tetapi hendaklah juga merangkumi faedah tidak langsung yang dinikmati oleh rakyat Labuan.
"Misalnya, program ini dijangka menerima 50,000 pengunjung, dengan anggaran perbelanjaan langsung RM20 juta berdasarkan unjuran perbelanjaan RM400/pengunjung, merangkumi penginapan, makanan, pengangkutan dan cenderamata.
"Selain itu, kesan pengganda ekonomi pula diunjur menyumbang RM35 juta nilai tambah kasar (GVA) serta mewujudkan kira-kira 400 peluang pekerjaan sementara manakala nilai setara publisiti (AVE) dijangka mencecah RM8 juta," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami