Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim sewaktu krisis pertukaran kerajaan lepas, adalah melalui budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Dr Mahathir yang sekali lagi mengulangi penjelasan mengenai pelantikannya itu, berkata langkah berkenaan terpaksa diambil bagi memastikan negara tidak hilang kepimpinan sebelum penubuhan kerajaan baharu.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, ketika krisis itu, beliau dan anggota kerajaan Pakatan Harapan (PH) lain sudah pun hilang kuasa apabila dijatuhkan oleh parti yang beliau asaskan sendiri, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ada ahli yang salahkan saya kerana semua pertukaran ini dikatakan disebabkan oleh saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Sebenarnya apabila kerajaan PH dijatuhkan oleh parti Bersatu apabila ia keluar daripada PH, seluruh anggota PH kehilangan jawatan mereka.

“Saya sebagai anggota kerajaan PH juga kehilangan jawatan. Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sudah pun buat keputusan keluar daripada kerajaan PH apabila mereka rayakan bersama UMNO dan PAS di Hotel Sheraton,” katanya sewaktu membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mahathir berkata, keputusan itu diambil memandangkan negara ketika itu menghadapi cabaran seperti kemerosotan ekonomi, perang dagang Amerika Syarikat-China, pandemik COVID-19 serta kejatuhan harga minyak.

Beliau mendakwa, ketika itu ada pihak yang merancang untuk merebut kuasa dan mengkhianati kerajaan pilihan rakyat melalui gerakan menubuhkan kerajaan ‘pintu belakang’.

“Saya sedih kerana perancangan ini melibat parti saya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Parti ini ditubuh khusus untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat pimpinan Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak). Perancangan ini kononnya bertujuan untuk menyelamat Melayu daripada dihancur oleh DAP.

“Ini adalah isu yang dicipta oleh Datuk Seri Najib untuk menjatuhkan kerajaan PH supaya Najib dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan yang mengambil alih. Malangnya ada pimpinan dan ahli PPBM (Bersatu) yang percaya DAP boleh hancur orang Melayu,” dakwanya lagi.

Dr Mahathir mendakwa, pembohongan itu akhirnya berjaya mempengaruhi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin parti itu untuk keluar daripada gabungan PH.

Berikutan itu, jelasnya beliau sudah pun hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri yang menerajui kerajaan PH.

“Peletakan jawatan oleh saya tidak dapat dielak,” katanya lagi.