Pelawa kekal jawatan MB untuk baiki hubungan Mukhriz dan Muhyiddin

Abdul Hadi Che Awang
Mei 17, 2020 09:04 MYT
Wajah ceria Muhammad Sanusi Md Nor selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu di Wisma Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Ahad. - Gambar BERNAMA
Pelawaan Pas kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk kekal berada di kedudukan tersebut bagi memimpin kerajaan Perikatan Nasional Kedah bertujuan memperbaiki hubungan pemimpin terbabit dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan tindakan yang diambil Mukhriz untuk tidak sehaluan dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilihat banyak merugikan rakyat khususnya di negeri Kedah selain menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) campur Bersatu di negeri terbabit.

Sehubungan itu, beliau menyangkal dakwaan Mukhriz yang mendakwa Pas memungkiri janji untuk tidak memujuk ADUN-ADUN Pakatan Harapan dan Bersatu untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional di Kedah.

Sebaliknya, pemimpin pemimpin terbabit menyertai gabungan PN yang dilihat selari dengan kepimpinan di peringkat Persekutuan selain menolak kepimpinan yang ada dalam PH.
"Dia (Mukhriz) memang Menteri Besar pun (waktu itu) ... saya pergi jumpa beliau untuk menyatakan sokongan untuk beliau terus jadi Menteri Besar.
"Saya dah bagi (beritahu) supaya dia boleh baik semula dengan memperbaiki hubungan dengan (Tan Sri Muhyiddin) yang merugikan rakyat di negara ini, tapi nampak pertembungan tu makin tajam, maka berlakulah apa yang berlaku pada hari ini," kata Sanusi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pertamanya sebagai Menteri Besar Kedah ke-14, di Bilik Gerakan Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Ahad
BACA: Muhammad Sanusi angkat sumpah MB Kedah ke-14

BACA: "Najib protagonis sebenar kejatuhan PH Kedah" - Mukhriz Mahathir

Terdahulu, Mukhriz dalam sidang media terakhirnya sebagai Menteri Besar pada pagi Ahad mendakwa Pas telah mungkiri janji untuk membolehkan beliau untuk terus kekal menerajui pentadbiran kerajaan Kedah sehingga tamat penggal ini.

Dakwa Mukhriz, janji tersebut dibuat selepas kejatuhan pentadbiran PH di peringkat pusat yang kemudian membawa kepada pertukaran kerajaan yang dipimpin PH di beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Perak.

#baiki hubungan #jawatan Menteri Besar #Kedah #Menteri Besar #Muhammad Sanusi Md Nor #Mukhriz Mahathir #mungkir janji #Pakatan Harapan #pelawaan Pas #Perikatan Nasional Kedah #politik #Wisma Darul Aman