MALAYSIA
Pelbagai inisiatif selesaikan isu penempatan kolej kediaman - UiTM
UiTM menerusi kenyataan JHEP menegaskan jabatan berkenaan mengambil maklum isu penempatan kolej kediaman mahasiswa dan menegaskan pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani perkara tersebut. - Gambar fail/UiTM
SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mencari penyelesaian menyeluruh berhubung cabaran penempatan pelajar di kolej kediaman institusi itu.
UiTM menerusi kenyataan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) menegaskan jabatan berkenaan mengambil maklum isu penempatan kolej kediaman mahasiswa dan menegaskan pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani perkara tersebut.
Antara usaha dilakukan adalah memperkenalkan pelbagai inisiatif alternatif bagi pelajar yang tidak mendapat tempat di kolej kediaman antaranya menerusi portal rasmi Unit Pengurusan Non-Resident (UPNR) di https://nr.uitm.edu.my yang menyediakan senarai rumah sewa berhampiran kampus dan dikemas kini secara berkala.
"UPNR bukan sekadar membantu mencari rumah sewa, tetapi turut memastikan keselamatan dan kebajikan mahasiswa luar kampus sentiasa terpelihara.
"Selain itu, UiTM turut menawarkan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk perkhidmatan bas ulang-alik (shuttle) UiTM, RapidKL dan SmartSelangor dan bantuan bakul makanan serta kewangan bagi pelajar yang memerlukan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut pemantauan keselamatan dan kebajikan pelajar luar kampus turut dibuat melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan serta jawatankuasa penduduk.
UiTM turut menubuhkan Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa yang dianggotai pengurusan kanan JHEP serta Timbalan-Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) di seluruh kampus berperanan menilai dan memantau isu penempatan pelajar secara berterusan.
Selain itu, sistem e-Rayuan kolej turut disediakan bagi membolehkan pelajar mengemukakan rayuan secara sistematik dan telus.
Menurut kenyataan itu, proses pemilihan pelajar ke kolej kediaman dilaksanakan secara telus menerusi jawatankuasa kolej yang diketuai pengetua (kolej kediaman) masing-masing.
UiTM dalam kenyataan sama menafikan dakwaan sebuah portal berhubung desakan meletakkan jawatan Timbalan Naib Canselor (HEP) Prof Dr Mohd Sazili Shahibi oleh pelajar universiti itu susulan gagal menangani situasi berkenaan.
"Pihak universiti menegaskan tiada sebarang desakan rasmi daripada mana-mana pihak mahasiswa terhadap Mohd Sazili seperti yang digambarkan oleh laporan tersebut.
"Dakwaan berunsur tuduhan itu adalah tidak benar, tidak berasas, serta boleh menjejaskan reputasi universiti dan pegawai kanan yang disebut," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA