MALAYSIA

Pelbagai negeri anjur sambutan meriah jayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026

Bernama 01/01/2026 | 22:45 MYT
Wakil dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak bergambar ketika Majlis Sambutan Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, 1 Jan 2026. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Negeri-negeri di seluruh negara semalam memulakan kempen sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan penganjuran pelbagai acara khas di pintu masuk utama termasuk di lapangan terbang, terminal feri dan kompleks imigresen bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan antarabangsa.


Ringkasan AI
  • Pelbagai negeri di Malaysia memulakan kempen sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan acara khas di pintu masuk utama termasuk lapangan terbang, terminal feri, dan kompleks imigresen untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
  • PAHANG meraikan ketibaan pelancong dengan persembahan kebudayaan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, sasaran adalah 15 juta pelawat dengan nilai pendapatan melebihi RM13 bilion.
  • Di NEGERI SEMBILAN, program 'Welcoming Pelancong' dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Port Dickson untuk mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan utama, dengan pelbagai lokasi sambutan termasuk Plaza Tol Seremban-Port Dickson dan Jeti Penumpang Port Dickson.


Di PAHANG, sambutan bagi meraikan ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Leong Yu Man yang diserikan dengan persembahan kebudayaan serta demonstrasi tenun Pahang.

Leong ketika ditemui pemberita pada sambutan yang turut menyaksikan kehadiran maskot rasmi VM2026 Wira dan Manja, berkata negeri Tok Gajah itu menyasarkan 15 juta pelawat dari dalam dan luar negara tahun ini dengan nilai pendapatan dianggarkan lebih RM13 bilion.

Selain itu, ketibaan 394 penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke TERENGGANU disambut dengan meriah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus yang juga melibatkan kehadiran maskot rasmi VM2026.

Selain diiringi persembahan muzik gamelan, penumpang yang tiba melalui tiga penerbangan pertama ke Terengganu bagi 2026 itu dihiburkan dengan tarian kebudayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan memberi kerjasama baik kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kejayaan kempen VM2026.

Sementara itu, di NEGERI SEMBILAN Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan, dan Kesenian Nicole Tan bersama-sama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Tourism Malaysia mengadakan Program 'Welcoming Pelancong' sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Nicole berkata program itu merupakan inisiatif awal bagi mempromosikan Negeri Sembilan, khususnya daerah Port Dickson sebagai destinasi pelancongan utama.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri Nicole Tan menyambut para pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Jeti Penumpang Port Dickson. --fotoBERNAMA


Majlis sambutan pelancong bermula di Plaza Tol Seremban-Port Dickson diikuti Jeti Penumpang Port Dickson dan Terminal One Seremban yang merupakan antara lokasi utama bagi inisiatif pembukaan kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan dan VM2026.

Di MELAKA seramai 160 pelancong dari Dumai, Indonesia yang memasuki negeri itu melalui feri di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Terminal Feri Antarabangsa Melaka-Dumai di sini diraikan dengan sambutan khas.

Ketibaan mereka disambut Pengarah Bahagian Pentadbiran Tourism Malaysia Amirul Ariffin Md Nasir sebaik feri berkenaan tiba di terminal pada 12.15 tengah hari semalam.

Sementara itu, di SARAWAK Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pula menyambut kedatangan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Pelancong disambut penyambut tetamu berpakaian tradisional suku kaum di Sarawak di samping penampilan maskot beruang matahari yang merupakan ikon kempen VM2026.

Terdapat lima lokasi pintu masuk darat di Sarawak iaitu ICQS Sungai Tujuh, Tebedu, Tedungan, Pandaruan dan Biawak serta empat pintu masuk udara iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dipilih sebagai lokasi sambutan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man (tiga, kiri) menyambut ketibaan para penumpang dan pelancong yang menaiki pesawat MAS di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. --fotoBERNAMA


Di SABAH Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin menyempurnakan majlis sambutan ketibaan pelawat terawal sempena kempen VM2026 peringkat negeri, sekali gus menandakan permulaan usaha mempergiat promosi pelancongan Sabah pada peringkat antarabangsa.

Jafry berkata Sabah memiliki kekuatan tersendiri sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, dengan gabungan warisan alam semula jadi dan biodiversiti unik yang mendapat pengiktirafan dunia.

"Di Sabah memang banyak tempat menarik. Kita mempunyai pengiktirafan UNESCO seperti Gunung Kinabalu dan Banjaran Crocker yang mendapat pengiktirafan dunia. Kita juga ada satu lagi yang baharu di Sukau yang mendapat pengiktirafan dunia," katanya.

Dalam pada itu, di PERLIS kerajaan negeri menyasarkan kehadiran empat juta pelancong tahun ini berbanding 3.5 juta pelancong direkodkan sepanjang tahun lepas.

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata terdapat 12 program berskala besar akan dilaksanakan bersempena Tahun Melawat Perlis 2026 bagi menyokong penganjuran VM2026.

Penyambut tetamu memakai pakaian tradisional suku kaum di Sarawak menyambut ketibaan pelancong luar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, 1 Jan 2026. --fotoBERNAMA


Di PERAK, tiga lokasi utama yang dikenal pasti sebagai pintu masuk pelancong sempena kempen VM2026 iaitu Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Ipoh serta ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata lebih 100 produk pelancongan menarik merangkumi keindahan alam semula jadi, kekayaan warisan budaya serta kepelbagaian gastronomi ditawarkan kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Beliau berharap sambutan itu bukan hanya meningkatkan ketibaan pelancong malah merancakkan ekonomi tempatan serta memperkukuh kedudukan Perak sebagai antara destinasi pelancongan utama negara dengan pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menyediakan pengalaman terbaik kepada pengunjung.

-- BERNAMA



#VM2026 #tahun melawat malaysia #lapangan terbang #pelancong