Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan akan terus berusaha menambah pendapatan rakyat luar bandar dengan mengadakan pelbagai program pertanian serta rancangan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya penduduk kampung sentiasa mengadakan dialog dengan ketua masyarakat serta ketua parti supaya mereka tahu apa rancangan serta bantuan kerajaan yang disediakan untuk menaik taraf kehidupan masyarakat luar bandar.

"Ada pelbagai skim pertanian yang disediakan untuk membantu rakyat luar bandar seperti skim penanaman getah, lada hitam, kelapa sawit, burung walit dan nanas," katanya pada majlis Hari Raya Aidilfitri di Kampung Serembang, Saribas, baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata rakyat mesti memberitahu pemimpin apa masalah di peringkat akar umbi supaya jalan penyelesaian dapat diusahakan.

Mengenai permintaan penduduk Kampung Serembang yang memohon supaya bayaran penyambungan elektrik ke rumah mereka dikurangkan, Uggah berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohd Radzi Sitam dengan pihak syarikat SESCO. - BERNAMA