Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Pelekat Hebrew tular: Pesara akui tempah 13 tahun lalu

Sinar Harian 09/10/2025 | 09:15 MYT
Dzulkhairi (kiri_ berkata, lelaki itu mengakui bahawa pelekat yang dilekatkan pada belakang kenderaannya itu telah ditempah di sebuah kedai di Selangor sejak 13 tahun lalu.
MELAKA: Polis Melaka telah merakam percakapan seorang pesara kerajaan yang merupakan pemilik kenderaan pacuan empat roda yang tular kerana memaparkan pelekat tulisan Hebrew baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Polis Melaka telah merakam percakapan seorang pesara kerajaan berusia 59 tahun yang memiliki kenderaan pacuan empat roda dengan pelekat tulisan Hebrew, yang tular di media sosial dan mencetuskan kebimbangan awam.
  • Individu tersebut menjelaskan pelekat itu ditempah sejak 13 tahun lalu dan diolah daripada frasa Hebrew -Israel Betainu- kepada -Malizia Beiteinu- yang bermaksud -Malaysia Rumahku-, atas minat terhadap tulisan asing.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, manakala polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat provokasi atau ulasan melampau di media sosial.


Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, lelaki berusia 59 tahun itu mengakui bahawa pelekat yang dilekatkan pada belakang kenderaannya itu telah ditempah di sebuah kedai di Selangor sejak 13 tahun lalu.

Menurut beliau, individu tersebut menggunakan bahasa Hebrew kerana minatnya terhadap pelbagai tulisan asing termasuk Greek dan Rusia.

“Dia pernah terlihat satu tulisan dalam bahasa Hebrew yang membawa maksud ‘Israel Betainu’, iaitu ‘Israel Rumahku’.

“Kemudian, dia mengolah tulisan itu dengan menukarkan ‘Israel’ kepada ‘Malaysia’, menjadi ‘Malizia Beiteinu’, yang bermaksud ‘Malaysia Rumahku’,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Khamis.

Jelas beliau, walaupun kenyataan daripada individu berkenaan telah direkodkan, siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan pandangan pakar bahasa untuk memastikan tiada unsur lain yang mencurigakan.

Ujarnya, pesara itu yang telah bersara sejak empat tahun lalu juga telah membuat laporan polis selepas kenderaannya tular di media sosial dan perkara itu disedari oleh adiknya yang sering menggunakan kenderaan tersebut.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang provokasi atau ulasan melampau di media sosial susulan isu ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tular satu klip video memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu yang dilekatkan pelekat bertulis ‘Malaysia rumah kami’ dalam bahasa Hebrew, iaitu bahasa rasmi Israel sekali gus mencetuskan kebimbangan dan kemarahan orang ramai.

Susulan itu, Pegawai Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon, telah membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau.

Hairul Amin berkata, video yang menunjukkan kenderaan tersebut mula dikesan di media sosial sekitar tengah hari Selasa dan dipercayai dirakam di kawasan negeri ini.

Menurutnya, tulisan Hebrew pada pelekat berkenaan membawa maksud yang sangat sensitif iaitu ‘Malaysia milik kami’ atau ‘Malaysia di tangan kami’, yang boleh menimbulkan provokasi, terutama ketika isu Gaza masih menjadi perhatian dunia termasuk menerusi misi Global Sumud Flotilla (GSF). - Sinar Harian






#Pelekat Hebrew tular #Melaka #Genosid Gaza #kekejaman israel