KUALA LUMPUR:Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai pendapatan serta memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan bagi individu.

Menurut Lampiran 2 berkaitan Langkah Cukai dalam Belanjawan 2021, kerajaan mahu menaikkan had pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan membiayai rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa daripada RM5,000 kepada RM8,000.

Langkah itu bertujuan membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan rawatan perubatan dan penjagaan ibu bapa, katanya.

Mengikut kedudukan semasa, pelepasan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan bagi rawatan perubatan, keperluan khas dan penjagaan ibu bapa adalah sehingga RM5,000 layak dituntut oleh pembayar cukai individu.

"Perbelanjaan itu terhad kepada rawatan di klinik dan hospital, rawatan di rumah penjagaan, rawatan pergigian tidak termasuk rawatan kosmetik selain rawatan dan penjagaan di rumah, pusat jagaan harian dan pusat jagaan kediaman," menurutnya.

Menurut Lampiran 3 pula, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan penyakit serius bagi pembayar cukai individu, pasangan dan anak serta rawatan kesuburan daripada sehingga RM6,000 kepada sehingga RM8,000.

Selain itu, had pelepasan cukai bagi skop perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh dicadangkan untuk dinaikkan daripada sehingga RM500 kepada sehingga RM1,000.

Menurut laporan itu juga, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan juga dicadangkan diperluaskan untuk meliputi perbelanjaan vaksinasi yang dibuat oleh pembayar cukai bagi diri, pasangan dan anak terhad kepada RM1,000.

Ini termasuk pneumococcal, Human Papillomavirus (HPV), Influenza, Rotavirus, Varicella, Meningococcal, kombinasi tetanus-difteria-ciellular-pertussis dan COVID-19 apabila vaksin telah tersedia, katanya.

Sementara itu menurut Lampiran 4 pula, kerajaan bercadang menaikkan had pelepasan cukai tambahan bagi pasangan kurang upaya daripada RM3,500 kepada RM5,000.

Pada masa sekarang, pembayar cukai individu yang mempunyai pasarang kurang upaya diberi pelepasan cukai tambahan sebanyak RM3,500, menurutnya.

Menurut Lampiran 6, kerajaan mencadangkan had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada sehingga RM2,500 kepada sehingga RM3,000 di mana tambahan sehingga RM500 dikhususkan bagi perbelanjaan peralatan sukan, bayaran kemasukan, sewaan fasiliti sukan dan penyertaan pertandingan sukan.

"Skop pelepasan cukai bagi surat khabar harian bercetak diperluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik," katanya.

Berdasarkan Lampiran 7, kerajaan mencadangkan supaya pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 ke atas simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk dua tahun lagi iaitu sehingga tahun taksiran 2022.

"Ini bertujuan terus menggalakkan ibu bapa untuk menyimpan dalam pembiayaan pendidikan tertiari anak," katanya.

Selain itu menurut Lampiran 8, kerajaan bercadang memperluaskan skop pelepasan cukai pendapatan bagi perbelanjaan yuran penggajian sehingga RM7,000 agar ia turut meliputi perbelanjaan menghadiri 'up-skilling' atau 'self-enhancement' dalam mana-mana bidang yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Pelepasan cukai pendapatan bagi skop tambahan ini adalah terhad sehingga RM1,000 bagi setiap tahun taksiran, katanya.

"Cadangan ini bertujuan menggalakkan warganegara Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 meningkatkan dan memperbaharui kemahiran serta menceburi bidang kemahiran baharu," menurut lampiran.

Kesemua pelepasan cukai ini adalah masing-masing untuk tahun taksiran 2021 dan 2022.

-- BERNAMA