MALAYSIA
Peletakan jawatan: Kementerian Ekonomi boleh diletak bawah JPM - Penganalisis

Barjoyai berpandangan, jika Kementerian Ekonomi diselaraskan semula di bawah Unit Perancang Ekonomi yang bernaung dalam JPM, pelaksanaan dasar ekonomi negara tetap boleh diteruskan tanpa sebarang kekangan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kekosongan jawatan Menteri Ekonomi tidak semestinya memerlukan rombakan besar Kabinet, sebaliknya tanggungjawab kementerian itu boleh disusun semula di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menurut penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, Perdana Menteri boleh mempertimbangkan untuk tidak menggantikan kekosongan tersebut, tetapi meletakkan portfolio ekonomi di bawah pengawasan menteri sedia ada.
“Kita boleh kurangkan bilangan menteri, misalnya beberapa menteri yang meletak jawatan tidak perlu diganti buat masa ini.
“Apa yang penting ialah kita perlu ada tata cara dan tata kerja untuk memastikan semua tanggungjawab ini diletakkan di bawah sebuah kementerian yang baharu misalnya, yang diawasi oleh menteri sedia ada,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.Tambah Barjoyai, jika Kementerian Ekonomi diselaraskan semula di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bernaung dalam JPM, pelaksanaan dasar ekonomi negara tetap boleh diteruskan tanpa sebarang kekangan.
Jelas beliau, hal ini kerana EPU sejak dahulu merupakan jentera pelaksana utama kerajaan yang cekap, dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang sedang disediakan masih boleh dijalankan mengikut jadual.
“Adakah ketiadaan Menteri Ekonomi, Kementerian Ekonomi akan lumpuh? Jawapannya tidak sebab penjawat awam di Malaysia memang terkenal sebagai cekap dalam meneruskan kerja dan mereka merupakan kumpulan pelaksana yang cekap.
“Pemudah cara ini dulu dilakukan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kemudian digabungkan sekarang di bawah Kementerian Ekonomi. Jadi, semua tugas ini berjalan dengan baik, cuma ia memerlukan kepemimpinan,” katanya lagi.
Begitu pun, beliau tidak menolak bahawa kekosongan jawatan Menteri Ekonomi boleh diisi oleh golongan teknokrat berpengalaman yang telah lama terlibat dalam pelaksanaan dasar dan program ekonomi negara.
Datuk Seri Rafizi Ramli yang juga Ahli Parlimen Pandan melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini.
Selain beliau, turut mengambil langkah sama ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad dengan peletakkan jawatan berkuat kuasa pada 4 Julai depan.
Terbaharu, Perdana Menteri dilapor berkata beliau masih memberi masa kepada dua menteri terbabit untuk memikirkan secara masak-masak sebelum melepaskan kedudukan mereka dalam Kabinet.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami