NATIONAL
Peletakan jawatan menteri: Waktu terbaik laksana rombakan Kabinet - Penganalisis
Sivamurugan berkata faktor lain yang perlu diambil kira termasuk kedudukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan tamat penggal selaku Senator pada Disember ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli disusuli Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini disifatkan penganalisis sebagai titik perubahan kepada keperluan melakukan rombakan di dalam barisan Jemaah Menteri Kerajaan MADANI.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata ia mengambil kira faktor antaranya mungkin terdapat lagi barisan menteri atau timbalan menteri daripada 'pasukan Rafizi' di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mengambil pendekatan sama.
Beliau berkata faktor lain yang perlu diambil kira termasuk kedudukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang akan tamat penggal selaku Senator pada Disember ini.
"Melihatkan kepada situasi semasa, mungkin inilah masanya rombakan Kabinet berlaku... Rafizi dah letak jawatan diikuti Nik Nazmi, mungkin ada lagi, jadi rombakan wajar dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan adanya 'pasukan' yang betul-betul bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memimpin negara dalam baki penggal ini.
"Rombakan Kabinet penting bukan sahaja untuk mengisi kekosongan ditinggalkan penyandang sebaliknya memastikan kestabilan kerajaan selain mengekalkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada mereka," katanya kepada Bernama hari ini.
Rafizi dan Nik Nazmi, yang tewas pada pemilihan peringkat pusat PKR baru-baru ini, mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan.
Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata rombakan Kabinet sekiranya dilakukan wajar merujuk kepada Petunjuk Prestasi Utama yang telah diletakkan kepada semua barisan menteri mahupun timbalan menteri sebelum ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Kedah Dr Jazimin Zakaria pula mencadangkan supaya kerajaan membawa masuk lebih ramai golongan teknokrat sekiranya melaksanakan rombakan barisan Jemaah Menteri.
"Kerana (keputusan Rafizi) tidak sihat, ia satu emosi politik tidak sihat, mungkin keputusan itu kerana integriti atau kesetiaan (pada parti) namun waktunya tidak tepat, di saat kita berhadapan perang dagang, jadi boleh fikirkan golongan teknokrat dengan jadikan kualiti dan prestasi itu keutamaan," katanya.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Profesor Madya Dr Mazlan Ali, peletakan jawatan menteri yang berlaku ketika ini selaras dengan amalan demokrasi di Malaysia dan berkata ia tidak akan menggugat keutuhan Kerajaan MADANI.
"Perkara biasa dalam demokrasi, bila individu berjawatan tidak dapat mandat daripada parti, selaras dengan itu mereka letak jawatan, ada kemungkinan beberapa perancangan peringkat kementerian itu akan terjejas tapi keseluruhannya tiada impak besar kepada polisi kerajaan," katanya.
Pada masa sama, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu menzahirkan keyakinan terhadap kebijaksanaan Anwar yang disifatkan beliau sebagai mempunyai pelan kontigensi tersendiri dalam menguruskan peletakan jawatan barisan Jemaah Menterinya.
Beliau berkata Perdana Menteri juga memilki kelebihan kerana kerajaan pimpinannya ketika ini didukung oleh Jemaah Menteri yang efisien selain mempunyai majoriti kukuh di Parlimen.
Senada dengan Mazlan ialan Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi yang berkata kompetensi dan pengalaman penjawat awam di kementerian berkaitan akan berupaya memastikan tiada gangguan terhadap pelaksanaan dasar yang telah dirancang sebelum ini.
"Seterusnya, pemilihan pengganti pula semestinya akan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip meritokrasi dan keterangkuman serta memastikan kesinambungan agenda reformasi negara," katanya.
Kesemua penganalisis juga senada bahawa individu yang akan memikul tanggungjawab selaku pengganti menteri-menteri berkenaan perlu memiliki keberanian, mempunyai sikap bertanggungjawab dan berkeupayaaan meneruskan kesinambungan seterusnya menambah baik dasar-dasar terdahulu.
-- BERNAMA