Skip to main content

Malaysia

Pelita raya Kampung Nam Dam serikan sambutan anak rantau pulang

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun suasana malam di Kampung Nam Dam di sini kembali bercahaya apabila sekumpulan anak muda kampung bergotong-royong memasang kira-kira 800 pelita di sepanjang laluan utama kampung itu.
Tradisi memasang pelita di kampung itu telah diamalkan sejak lebih 20 tahun lalu dan diwarisi daripada generasi terdahulu. - Astro AWANI

PENDANG: Beberapa hari menjelang Aidilfitri, suasana malam di Kampung Nam Dam kembali meriah apabila sekumpulan belia kampung bergotong‑royong memasang kira‑kira 800 pelita di sepanjang laluan utama kampung.

Inisiatif sepenuhnya oleh golongan muda ini bukan sahaja menghidupkan kembali tradisi pelita raya yang semakin jarang dilihat, tetapi juga menceriakan kampung serta menyambut kepulangan anak rantau.

Advertisement

Deretan pelita sejauh hampir 800 meter di kiri dan kanan jalan utama mencipta pemandangan indah apabila dinyalakan selepas berbuka puasa.

Lokasi kampung yang dikelilingi sawah padi turut menyerlahkan cahaya pelita dan pelbagai replika yang dibina.

Menurut Muhammad Zulfiqri Zulkifli, 25, tradisi memasang pelita di kampung itu telah diamalkan sejak lebih 20 tahun lalu dan diwarisi daripada generasi terdahulu.

“Sekarang, kami anak muda berusia sekitar 18 hingga 25 tahun yang meneruskan tradisi ini supaya kemeriahannya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata setiap hari mereka akan berkumpul selepas Asar untuk mengisi minyak pelita, dan selepas berbuka dan solat Maghrib, mereka akan menyalakan pelita satu persatu sehingga semuanya menyala sehingga lewat malam.

Lebih 200 penduduk turut menyertai konvoi pelita itu, termasuk Pengerusi Jawatankuasa MCPF Kedah, Datuk Zulkifly Mohamad.

Image
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun suasana malam di Kampung Nam Dam di sini kembali bercahaya apabila sekumpulan anak muda kampung bergotong-royong memasang kira-kira 800 pelita di sepanjang laluan utama kampung itu.
Tradisi memasang pelita di kampung itu telah diamalkan sejak lebih 20 tahun lalu dan diwarisi daripada generasi terdahulu. - Astro AWANI

Zulfiqri menjelaskan bahawa tugas dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memastikan kelancaran kerja, termasuk kumpulan yang menumpukan kepada pemasangan pelita, pembinaan menara serta replika.

Seorang lagi belia, Muhammad Khalil Ashraf Muhammad Yusuf, 22, berkata antara cabaran utama ialah proses membina replika menggunakan buluh yang diambil dari hutan berhampiran.

“Untuk buluh, kami pergi ramai‑ramai ke hutan. Kadang‑kadang susah nak siapkan rangka, tapi kami tetap usaha sampai siap. Antara replika yang kami buat ialah Menara Berkembar PETRONAS, Menara Alor Setar dan Jambatan Pulau Pinang,” katanya.

Kos keseluruhan projek dianggarkan sekitar RM1,000, termasuk kira‑kira RM200 setiap malam untuk minyak diesel.

Semua kos dikumpulkan secara sukarela oleh penduduk kampung serta sumbangan orang ramai.

Sementara itu, Zulkifly menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen belia Kampung Nam Dam yang terus mempertahankan tradisi ini.

"Usaha ini bukan sekadar menceriakan kampung menjelang Aidilfitri, tetapi juga mengeratkan hubungan masyarakat melalui semangat gotong‑royong.

"Anak muda di sini sangat bertanggungjawab dan mengekalkan silaturahim, contoh terbaik untuk masyarakat luar," katanya.

 

Must Watch Video