Skip to main content

Malaysia

Peluasan Dapur Siswa MADANI diharap tangani isu pelajar berlapar - Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir ketika ditemui pengamal media pada Penutup Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.  - Foto BERNAMA
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir ketika ditemui pengamal media pada Penutup Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

TANJONG MALIM: Program Dapur Siswa MADANI yang kini diperluas kepada politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027, diharap dapat menoktahkan isu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berlapar akibat kekangan kewangan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata peruntukan bagi inisiatif itu, membuktikan keprihatinan kerajaan mengenai keperluan asas seperti makanan dalam kalangan pelajar yang kurang berkemampuan, supaya dapat ditangani dengan lebih menyeluruh.

“Datanglah (untuk mendapatkan bantuan). Kita harap masalah pelajar berlapar ini dapat diselesaikan menerusi inisiatif ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), merangkap Penasihat Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026 Prof Dr Harshita Aini Haroon.

Beliau berkata pelaksanaan Dapur Siswa disesuaikan mengikut keperluan dan kreativiti setiap institusi, termasuk menyediakan ruang untuk pelajar memasak sendiri atau penyediaan makanan secara berkumpulan bagi diagihkan kepada pelajar memerlukan.

Zambry berkata kerajaan tidak menetapkan sasaran khusus bagi jumlah penerima kerana keutamaan ialah memastikan setiap pelajar yang memerlukan bantuan makanan, mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya telah turun padang bagi meninjau keadaan dan persediaan dari segi pemenuhan keperluan asas itu, selaras dengan penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai kepentingan kebajikan pelajar di IPT.

“Sebab itu saya turun ke bawah...pergi melawat sendiri keadaan dan juga persediaan serta persiapan yang kita buat di setiap universiti,” katanya.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt, mengumumkan peluasan pelaksanaan Program Dapur Siswa MADANI ke semua politeknik dan IPG di seluruh negara menerusi peruntukan sebanyak RM20 juta.

Ikhtiar itu akan menyediakan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa pada harga serendah RM5.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement