KOTA KINABALU: Seorang peluncur layar maut selepas diterbangkan angin beberapa meter sebelum tubuhnya terhempas di cerun konkrit di kawasan Lebuhraya Pan Borneo, Kampung Keliangau, Manggatal pada Jumaat.

Menurut saksi kejadian, dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 2.00 petang itu, lelaki berumur 26 tahun tersebut baru sahaja mendarat bersama seorang penumpang selepas melakukan penerbangan daripada Bukit Kokol.

Tiupan angin kuat secara tiba-tiba menyebabkan badan mangsa yang masih terikat dengan payung terjun terpelanting sehingga terhempas di cerun konkrit sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan akibat cedera parah.

Walau bagaimanapun, sebelum insiden itu berlaku, mangsa sempat membuka tali keselamatan yang mengikat penumpangnya sejurus mendarat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Dalam kejadian tersebut, mangsa dikatakan membawa seorang penumpang meluncur menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol dan berjaya mendarat dengan selamat.

"Namun, sebaik saja penumpang diturunkan, mangsa yang tidak sempat menanggalkan tali payung telah ditiup angin kuat menyebabkan mangsa terbang dan terhempas di cerun konkrit," ujar beliau.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth bagi tujuan bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.