Skip to main content

Malaysia

Peluncuran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang 2026 bakal berlangsung penuh patriotik

71704030800_JalurGemilang.jpg
Majlis yang akan diadakan di ILKKM SAS, di Tanjung Rambutan di sini pada 19 Julai (Ahad) ini bakal menampilkan konsep agak berbeza berbanding tahun sebelumnya. - Gambar fail
Advertisement

IPOH: Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM2026) akan berlangsung secara sederhana namun penuh semangat kecintaan kepada tanah air.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Muhammad Najmi Mustapha berkata, majlis yang akan diadakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), di Tanjung Rambutan, di sini, pada 19 Julai (Ahad) ini bakal menampilkan konsep agak berbeza berbanding tahun sebelumnya.

"Jika tahun lepas di Muar, Johor dan pada 2024 di Cyberjaya kita mengadakan majlis secara terbuka dengan kehadiran orang ramai, kali ini kita memilih pendekatan yang lebih sederhana.

"Pendekatan ini selepas mengambil kira pelbagai cabaran global termasuk krisis bekalan tenaga serta konflik yang berlaku di Asia Barat. Walaupun diadakan secara tertutup, kita tetap mahu kemeriahan sambutan itu dirasai orang ramai," katanya dalam sesi temu bual di radio NasionalFM pada Selasa.

Beliau berkata, orang ramai masih berpeluang mengikuti majlis yang akan bermula pada 10 pagi dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) secara langsung selain Facebook Live Merdeka360, Kementerian Komunikasi dan JAPEN. 

Muhammad Najmi berkata, majlis itu menjadi titik permulaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sempena Bulan Kebangsaan sebelum pelbagai program lain diteruskan oleh kementerian, agensi dan pihak berkaitan di seluruh negara.

"Kita hendak memastikan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dapat terus disuburkan. Majlis ini merupakan pembuka tirai sebelum pelbagai program dan aktiviti diadakan di seluruh negara bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Najmi berkata, Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang diteruskan tahun ini sebagai inisiatif utama bagi menyemarakkan sambutan HKHM2026 serta menggalakkan rakyat menterjemahkan semangat patriotisme melalui pengibaran Jalur Gemilang.

Beliau berkata, kempen yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas itu masih mengekalkan konsep sama namun diperluas pelaksanaannya menerusi dua lagi kluster iaitu rumah ibadat dan sukan selain tujuh kluster sebelum ini iaitu pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan, keselamatan, komuniti, industri dan agensi kerajaan.

Mohamad Najmi berkata, pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan di seluruh negara dengan maklumat mengenainya akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi Portal Merdeka 360 serta platform media sosial JAPEN. 

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai menunjukkan semangat patriotisme menerusi media sosial termasuk menggunakan Jalur Gemilang sebagai gambar profil serta berkongsi kandungan berkaitan sambutan Bulan Kebangsaan menggunakan tanda pagar #HKHM2026, #MalaysiaMADANI, #KesejahteraanDinikmati dan #Merdeka360.

Sebelum ini Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tema "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" dipilih bagi sambutan HKHM2026 tahun ini, manakala logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan hingga tahun hadapan.

Fahmi berkata, sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan diadakan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos dalam skala sederhana tetapi meriah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement