Skip to main content

Malaysia

Peluru berpandu NSM: Malaysia tunggu maklum balas syarikat pembekal - Khaled

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan akan mempertimbangkan tindakan seterusnya selepas menerima maklum balas itu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menunggu maklum balas daripada syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) yang membekalkan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) berhubung tuntutan susulan kerajaan berikutan pembatalan perolehan sistem tersebut.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan akan mempertimbangkan tindakan seterusnya selepas menerima maklum balas itu.

“Perbincangan telah diadakan dengan pembekal dan tuntutan telah dikemukakan, kita sedang menunggu maklum balas mereka sebelum merujuk perkara itu kepada kerajaan untuk pertimbangan dan keputusan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang peringkat Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan sedang berusaha menyelesaikan isu membabitkan pembekalan peluru berpandu untuk Littoral Combat Ship (LCS) (Kapal Tempur Pesisir).

“Kami sedang bekerja keras untuk memastikan isu membabitkan pembekalan peluru berpandu bagi LCS kita dapat diselesaikan.

“Apabila ada perkembangan mengenai jadual penghantaran, saya akan memaklumkan kepada media,” katanya.

Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan dengan alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

Menurut laman sesawang KDA, perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam LCS baharu.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement