MALAYSIA
PEMADAM fokus tangani ancaman dadah sintetik dalam kalangan belia berpendidikan

Shamsul Anuar berkata PEMADAM telah turun padang ke beberapa negeri antaranya Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah untuk bekerjasama dengan AADK dalam memahami situasi sebenar penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) akan memberi tumpuan serius terhadap usaha membanteras penularan dadah sintetik yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan belia berpendidikan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata perkara itu akan menjadi antara agenda utama dalam Perhimpunan Agung PEMADAM Kebangsaan ke-46 yang akan berlangsung pada 9 hingga 11 Ogos ini di Kompleks Perbadanan Putrajaya.
"PEMADAM perlu bergerak ke hadapan sesuai dengan perubahan yang berlaku ketika ini. Tumpuan kita kepada dadah sintetik yang mudah didapati kerana harganya murah serta menjadi pilihan golongan muda berusia 15 hingga 30 tahun, termasuk yang berpendidikan tinggi.
"Kita juga mahu menjadikan perhimpunan ini sebagai titik tolak perubahan untuk PEMADAM, bukan sahaja dari segi strategi pencegahan, tetapi juga dengan penyertaan lebih ramai pimpinan muda dan ahli akademik dalam barisan PEMADAM Kebangsaan," katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan Mesyarat Jawatankuasa Eksekutif PEMADAM Kebangsaan di sini hari ini.Shamsul Anuar berkata PEMADAM telah turun padang ke beberapa negeri antaranya Kelantan, Pulau Pinang dan Sabah untuk bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam memahami situasi sebenar penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi.
"Kajian yang dibuat oleh AADK jelas menunjukkan bahawa individu yang terlibat dalam penggunaan dadah kini turut merangkumi golongan berpendidikan tinggi, malah ada yang mempunyai PhD (Ijazah Doktor Falsafah), terutamanya di Pantai Timur.
"Maknanya, mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah ini mula memberi fokus kepada kumpulan-kumpulan yang sangat berpotensi menjadi golongan produktif dan penyumbang kepada pembangunan negara," katanya.
Beliau berkata perhimpunan agung itu dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bakal menjadi platform untuk menyampaikan mesej dalam usaha berterusan membanteras musuh nombor satu negara itu.
"Perhimpunan itu akan menampilkan pelbagai pameran daripada AADK, Jabatan Penjara serta Pusat Serenti (PUSPEN) selain sesi khas pembentangan yang akan mendedahkan senario terkini mengenai dadah sintetik serta kaedah dan pendekatan terbaharu yang digunakan oleh pengedar," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami