SERDANG: Pemain industri pertanian perlu bersedia dan mengambil langkah-langkah menghentikan pengilangan, pengedaran, penjualan dan penggunaan racun makhluk perosak jenis carbofuran dan chlorpyrifos, susulan pengharamannya untuk sektor itu yang akan berkuat kuasa pada 1 Mei tahun depan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata pengharaman kedua-dua racun itu selari dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan hasil pertanian negara selamat dan berkualiti.

"Saya percaya Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) telah menilai semula setiap racun makhluk perosak yang didaftarkan di negara ini selaras dengan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.

"Sekiranya sesuatu racun makhluk perosak itu didapati boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia dan alam sekitar, ia akan disyorkan untuk diharamkan atau dihadkan penggunaannya," katanya pada majlis perasmian kempen pengharaman carbofuran dan chlorpyrifos (sektor pertanian) peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI Azah Hanim Ahmad.

Ronald berkata pengharaman carbofuran disebabkan berlaku penyalahgunaan pada tanaman makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak disyorkan sekali gus menyebabkan berlaku pelanggaran paras residu maksimum (MRL) yang tinggi.

Beliau berkata LRMP juga bersetuju supaya chlorpyrifos diharamkan penggunaannya dalam pertanian dan dihadkan penggunaannya bagi kesihatan awam dan seisi rumah sahaja.

"Keputusan ini diambil kerana chlorpyrifos berpotensi menyebabkan kesan mudarat kepada manusia dan alam sekitar. Ia juga termasuk dalam tujuh racun makhluk perosak tertinggi melanggar MRL.

"Banyak negara telah mengambil tindakan regulatori mengharamkan dan menghadkan penggunaan chlorpyrifos.

"Terdapat banyak racun perosak alternatif yang kurang risiko mudarat kepada manusia dan alam sekitar bagi menggantikan chlorpyrifos seperti abamectin, fipronil, lufenuron dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata MAFI melalui Jabatan Pertanian turut mengalakkan golongan petani mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) di ladang melalui pensijilan myGAP dan myOrganic supaya hasil pertanian yang berkualiti dan selamat dapat dihasilkan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan eksport.

-- BERNAMA