MELAKA: Kerajaan negeri memberi amaran tegas serta tempoh tujuh hari kepada pemaju sebuah projek pembangunan komersial di Taman Muzaffar Syah, Lebuh Ayer Keroh, Bukit Katil di sini untuk menambah baik aspek keselamatan cerun di kawasan terbabit.

Ia susulan aduan penduduk mengenai pergerakan tanah di tebing cerun bukit itu sehingga mengakibatkan Jalan Sri Raya 4 dan Jalan Sri Raya 7 berhampiran mulai merekah serta menimbulkan kebimbangan akan berlakunya tanah runtuh, melibatkan kira-kira 500 penduduk daripada 80 buah rumah di situ.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pihaknya menerusi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan melakukan pemantauan setiap hari bagi memastikan aspek teknikal yang melibatkan keselamatan cerun dipatuhi dan ditingkatkan segera.

"Jadi kita telah menerima jaminan bagi tujuh hari daripada pemaju untuk menambah baik serta menguatkan cerun ini dan dalam masa yang sama mahu pemaju mematuhi nasihat teknikal yang diberikan JKR (Jabatan Kerja Raya)," katanya pada sidang media berkaitan isu tersebut di Taman Muzaffar Shah di sini hari ini.

Katanya, walaupun cerun itu telah mengikut spesifikasi yang dibentangkan kepada pihak berkuasa namun ia perlu diberi perhatian memandangkan ia boleh berubah mengikut pelbagai faktor.

"Kita faham proses teknikal (berkaitan cerun) ini berlaku secara berperingkat untuk memastikan keadaan pergerakan tanah mengikut susun atur perancangan yang telah dilakukan dan kalau tidak salah saya, projek ini baru fasa ketiga dan ia masih ada beberapa peringkat lagi untuk sampai ke fasa struktur tersebut kuat dan selamat.

"Jadi sudah pasti sepanjang tempoh itu akan ada sedikit pergerakan dan ini akan kita sentiasa teliti aspek keselamatannya," katanya.

Beliau berkata sekiranya berlaku kerosakan yang lebih besar, pihaknya mungkin terpaksa mengambil tindakan termasuk menangguhkan projek tersebut.

Ab Rauf turut meminta pemaju memberi perhatian kepada tuntutan ganti rugi sekiranya terdapat rumah yang terjejas akibat projek itu.

Semalam media melaporkan penduduk taman berkenaan bimbang apabila wujudnya pergerakan tanah di tebing cerun bukit itu.

-- BERNAMA