KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan semua pemaju projek agar tidak menceroboh dan melakukan kerja-kerja pembinaan berhampiran kawasan izin lalu rentis talian penghantaran voltan tinggi.

Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir Husaini Husin berkata, langkah itu bagi mengelakkan kejadian percikan arka yang boleh menggugat kestabilan sistem Grid Nasional serta berisiko untuk mengalami renjatan elektrik.

"Kami juga mengingatkan bahawa tiada kerja-kerja boleh dilakukan dalam kawasan izin lalu tanpa kebenaran TNB.

"Janganlah menceroboh kawasan rentis TNB. Dapatkan atau maklumkan kami jika perlu menjalankan kerja di dalam kawasan rentis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Husaini berkata pihak yang telah menerima kebenaran TNB untuk melakukan kerja-kerja dalam kawasan rentis TNB, perlu berhati-hati bagi mengelakkan percikan arka dan sistem bekalan elektrik terpelantik, sekali gus menyebabkan ketiadaan bekalan pada kawasan yang luas.

"Ribuan pengguna akan terkesan. Percikan arka yang berlaku bukan sahaja boleh menyebabkan kehilangan harta, malah nyawa pelaku," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengesan tiga kejadian percikan arka menara penghantaran TNB di Pulau Pinang dan Selangor baru-baru ini yang telah menyebabkan sistem bekalan elektrik terpelantik.

Katanya akibat kejadian itu, operator kren yang terlibat telah mengalami renjatan elektrik yang menyebabkan kecederaan serius.

Menurut Husaini, semua kesalahan yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan kepada mana-mana pepasangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

"Justeru, kami menyeru semua pihak terutama pihak pemaju dan pemilik premis kilang berhampiran talian voltan tinggi untuk sentiasa memberikan kerjasama demi keselamatan bersama," katanya.

-- BERNAMA