Pemakaian batik di Parlimen suatu yang baik - Rais Yatim

Asyraf Roslan
Mac 6, 2019 09:48 MYT
Rais Yatim berpendapat, jika terdapat program atau rekaan baharu buat batik Malaysia dengan bimbingan kepakaran kerajaan mungkin akan memberi cetusan baharu untuk industri tekstil tanah air - Gambar BERNAMA
Batik merupakan satu warisan negara yang harus kita banggakan.
Jika di Indonesia, mereka memandang batik sebagai satu industri yang sangat serius kerana batik dapat menonjolkan budaya dan warisan Indonesia.
Jadi mengapa kita sebagai rakyat Malaysia tidak mengangkat seni batik itu di negara kita?
Pengerusi Yayasan Budi yang juga Budayawan Nasional, Tan Sri Dr Rais Yatim mengakui bahawa semasa tompok pemerintahan kerajaan dahulu, mereka tidak berjaya membawa pemakaian batik ke dalam Parlimen.
”Semasa saya menjadi Menteri Kebudayaan tempoh hari dan tempoh kami di Kekwa (Kementerian Kebudayaan dan Warisan) belum berjaya lagi memakai batik di Parlimen,” katanya semasa dihubungi Astro AWANI.
Namun baginya, pemakaian batik di Parlimen adalah sesuatu yang baik dan perlu difikirkan.
Sementara itu, beliau juga berpendapat, dalam memperkasakan batik, ia memerlukan satu gerak kerja baharu dan dasar-dasar lama seperti pemakaian batik pada hari Khamis di pejabat dan juga di tempat-tempat lain perlu di galakkan.
Tambahnya batik yang datang dari Kelantan, Terengganu dan Pahang ini ada penonjolannya namun kurang diberi perhatian oleh kerajaan.
Beliau juga berpendapat jika terdapat program atau rekaan baharu buat batik Malaysia dengan bimbingan kepakaran kerajaan, perkembangan itu juga mungkin memberi cetusan baharu untuk industri tekstil tanah air.
Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memberitahu hasratnya untuk memohon kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof agar membenarkan batik Malaysia dipakai oleh semua ahli Parlimen lelaki bersidang Dewan Rakyat.
BACA: YDP Speaker..tolonglah, ini Batik Malaysia!
BACA: Pemain industri batik sambut baik cadangan Nurul Izzah
#Astro Awani #batik #Dewan Rakyat #Indonesia #Nurul Izzah #Pemakaian batik di Parlimen suatu yang baik #Rais Yatim