KUALA NERUS: Negeri-negeri di Pantai Timur terdedah dengan risiko perubahan lanskap pesisir pantainya berikutan isu pemanasan global dan musim tengkujuh.

Menurut Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Ir. Dr. Azimah Ismail, beberapa kawasan mencatatkan hakisan pantai yang serius yang perlukan tindakan segera dilakukan.

Beliau berkata, pemanasan global menyebabkan paras air laut semakin meningkat ditambah dengan pertambahan isi pada air laut susulan pencairan bongkah ais dan salji di Kutub Utara.

"Sudah pasti dengan pemanasan global ini ia akan meningkatkan paras dan isi padu air laut. Ini mengakibatkan kawasan pantai semakin berkurang.

"Di Pantai Timur dengan monsun Timur Laut, ia menyaksikan ombak besar, angin kencang, boleh menggalakkan lagi hakisan pantai berlaku seperti apa berlaku di Kuala Nerus, Terengganu ini," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Selasa.

 Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Ir. Dr. Azimah Ismail memaklumkan situasi hakisan pantai ini akan lebih memburuk sekiranya tiada langkah serius diambil - Foto/AstroAWANI

Azimah memberi peringatan sekiranya tiada tindakan serius untuk tangani isu pemanasan global, beberapa bandar di pesisir Pantai Timur berisiko terima impak serius.

Beberapa ibu negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang terletak di pesisir pantai, kata beliau, antara bandar yang akan menerima kesannya.

Sementara itu, bagi mengelak hakisan daripada terus berlaku, Azimah mencadangkan benteng pemecah ombak dapat dibina di kawasan terdedah dan berisiko.

"Selain tindakan tangani isu pemanasan global, perlu ditekankan adalah benteng pemecah ombak supaya dapat pelihara kawasan pantai daripada terhakis.

"Adalah baik sekiranya ia dilakukan sebelum pantai terhakis kerana sekiranya dilakukan selepas ia terjejas, maka perlukan kos yang tinggi untuk membiayainya," jelasnya.

Dalam masa sama, Azimah turut berharap agar kajian mendalam dibuat di seluruh pesisir Pantai Timur bagi mengetahui apakah langkah sesuai membendung hakisan pantai ini dapat dielakkan.