NATIONAL

Pemandu 'bas pink' terbabit nahas di Alor Gajah direman tiga hari

Bernama 27/05/2025 | 07:48 MYT
Pemandu bas henti-henti yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuh AMJ, Sungai Petai, direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. -Gambar hiasan/Adobe Stock Image
ALOR GAJAH: Pemandu bas henti-henti atau lebih dikenali "bas pink" yang terbabit dalam satu kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Taman Awan Biru, Sungai Petai semalam, direman tiga hari bermula hari ini.


Ringkasan AI
  • Pemandu bas henti-henti yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuh AMJ, Sungai Petai, direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
  • Kemalangan berlaku apabila bas merempuh kereta yang berhenti di bahu jalan, menyebabkan pemandunya, Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, maut di tempat kejadian, manakala rakannya cedera.
  • Pemandu bas dan seorang penumpang wanita tidak mengalami kecederaan, dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis.


Majistret Dr Teoh Shu Yee membenarkan permohonan reman itu, selepas mendapat permohonan daripada pihak polis yang menahan lelaki berusia 37 tahun itu semalam.

Media semalam melaporkan pada kejadian kira-kira 4.45 petang itu, kereta dipandu Muhammad Aiman Mohd Farid, 23, yang juga pekerja subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dirempuh sebuah bas ketika berhenti di bahu jalan, sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam longkang dan parah di kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Muhammad Hakimi Hafiz Baharin, 22, pula luka di badan.

Bas berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Terminal Bas Melaka Sentral menuju ke Lebuh AMJ, manakala kereta dipandu Muhammad Aiman pula dari arah Rembia.

Bagaimanapun pemandu bas dan seorang penumpang wanita berusia 53 tahun, tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.

-- BERNAMA





#Pemandu bas henti-henti #Lebuh AMJ Sungai Petai #reman tiga hari #Muhammad Aiman Mohd Farid